Selasa, 21 Disember 2021 | 12:28pm
Malaysia Airports menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir di kawasan Sepang.- FOTO ihsan Malaysia Airports
Malaysia Airports menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir di kawasan Sepang.- FOTO ihsan Malaysia Airports

Malaysia Airports bantu lebih 1,000 mangsa banjir di Sepang

PUTRAJAYA: Malaysia Airports menyalurkan bantuan kepada lebih 1,000 kakitangannya dan penduduk yang terkesan akibat banjir di kawasan Sepang.

Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Iskandar Mizal Mahmood, berkata pemberian bantuan seperti makanan dan keperluan asas itu dilaksanakan bawah inisiatif #MYAirportCARES.

Katanya, sumbangan turut disalurkan kepada mangsa banjir yang berlindung di Masjid Sultan Abdul Samad, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Penduduk berpindah ke masjid kerana jalan raya ke kediaman mereka terputus dan tidak boleh dilalui.

"Mangsa diberikan makanan bungkus, makanan kering dan segera, penjagaan bayi dan kit kebersihan serta beberapa barang keperluan asas," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Iskandar Mizal berkata, Sepang adalah antara kawasan dilanda banjir dan ramai yang terjejas terdiri daripada kakitangan KLIA.

Justeru, katanya, Malaysia Airports sedang mengusahakan yang terbaik bagi membantu dan mengaktifkan pasukan teras disertai kira-kira 30 sukarelawan untuk menyampaikan bantuan.

Beliau berkata, MAHB menyediakan keperluan asas sebagai tindak balas pertama dan selepas air surut pula akan membantu kerja pembersihan, selain memberi sedikit bantuan kewangan kepada mangsa.

"Susulan ramai mangsa banjir terdiri daripada kakitangan lapangan terbang Malaysia Airports, kami memanggil semula kakitangan yang bercuti bagi menampung kekurangan pekerja.

"Usaha ini adalah bagi menampung petugas dan Malaysia Airports menjangka ada peningkatan jumlah penumpang pada musim cuti sekolah serta perayaan ini," katanya.

Dalam pada itu, Iskandar Mizal berkata, Malaysia Airports turut melakukan pemantauan dengan teliti kesan banjir di kawasan sekitar bagi memastikan operasi penerbangan berjalan lancar.

Katanya, penumpang dinasihatkan merancang lebih awal perjalanan ke KLIA, termasuk membuat pilihan menaiki tren KLIA Ekspres supaya dapat tiba dengan selamat dan tepat pada masanya.

Berita Harian X