Selasa, 21 Disember 2021 | 11:53am
- Hiasan. FOTO NSTP
- Hiasan. FOTO NSTP

Pembangunan tidak terancang punca banjir besar

KUALA LUMPUR: Pembangunan tidak terancang, pengabaian aspek pemuliharaan alam sekitar dan kelemahan penyelenggaraan sistem saliran dikenal pasti menyumbang kejadian banjir besar di Lembah Klang.

Teori itu dibangkitkan pakar pembinaan, geologi dan kaji cuaca susulan banjir di sekitar Lembah Klang yang mengakibatkan ribuan penduduk terjejas.

Pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Ir Ts Dr Rumaizah Mohd Nordin, berkata pembangunan tidak terancang menyebabkan sistem saliran tidak direka bentuk dengan sempurna.

"Jika dibuat secara terancang, data taburan hujan, paras banjir dan pelbagai maklumat hidrologi akan diambil kira bagi merekabentuk sistem perparitan sesuai bagi mengelakkan risiko banjir besar.

"Selain itu, kegagalan dalam perancangan guna tanah di lokasi pembangunan, penerokaan kawasan sensitif, boleh mengakibatkan berlakunya bencana seperti banjir, tanah runtuh serta pencemaran air," katanya kepada BH.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Pembinaan, Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur UiTM itu berkata, pengabaian pertimbangan isu teknikal, keselamatan dan pemeliharaan alam sekitar juga mengakibatkan banjir luar biasa.

"Terdapat lokasi pembangunan atau perumahan dibina di kawasan rendah hingga menyebabkan ia menjadi tempat air bergenang apabila hujan lebat dan berterusan dalam tempoh lama.

"Ada juga pembangunan di sesuatu kawasan itu berlaku begitu pantas menyebabkan ia menjadi lebih padat, sekali gus mengurangkan keberkesanan sistem saliran," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Fredolin Tangang berkata, pembangunan tidak terancang akan meningkatkan risiko banjir besar.

"Namun, selain isu pembangunan yang tidak terancang, banjir luar biasa ini turut berpunca daripada curahan hujan yang terlalu tinggi," katanya.

Jelasnya, fenomena banjir besar yang meningkat ketika ini turut disebabkan berlakunya perubahan iklim.

"Justeru, pembangunan mesti dilakukan secara terancang dan mengambil kira peningkatan curahan hujan dan cuaca ekstrim pada masa akan datang," katanya.

Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Prof Dr Ahmad Ismail, berkata kurangnya perancangan teliti dalam projek pembangunan jelas menjadi punca banjir besar berlaku di Lembah Klang.

"Kajian terperinci perlu dilakukan untuk mengambil kira maklumat daripada semua pihak berkaitan untuk memastikan pengurusan banjir yang cekap," katanya.

Berita Harian X