Ahad, 19 Disember 2021 | 3:28pm
Keadaan banjir berhampiran Seksyen 25 Sri Muda Shah Alam berikutan hujan lebat. NSTP/ASYRAF HAMZAH
Keadaan banjir berhampiran Seksyen 25 Sri Muda Shah Alam berikutan hujan lebat. NSTP/ASYRAF HAMZAH

Kelemahan pengurusan manusia punca banjir teruk

KUALA LUMPUR: Banjir teruk yang melanda beberapa negeri ketika ini disifatkan berpunca daripada kelemahan pengurusan manusia dan akibat perubahan iklim dunia.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata banjir ini juga sebagai bukti bahawa hingga ke hari ini, tumpuan serius tidak pernah diberikan terhadap sistem perparitan di negara ini.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan memberikan lebih peruntukan terhadap sistem perparitan negara dengan bajet yang lebih di setiap negeri.

"Banjir yang berlaku di kawasan bandar juga, antaranya berpunca daripada kurangnya penyelenggaraan longkang, selain saliran yang tersumbat.

"Kita lihat juga, hingga hari ini aktiviti penebangan hutan dan pembalakan haram masih berlaku secara besar-besaran dan ia perlu dibanteras serta-merta.

"Pembangunan di lereng bukit harus diberi perhatian serius dan perlu ada pemantauan yang kerap kerana apabila hujan lebat, kawasan ini terdedah kepada hakisan tanah dan boleh mengakibatkan tanah runtuh," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Lam Thye berkata, pendekatan berjaga-jaga dalam pembangunan perlu diambil supaya bencana seperti ini dapat dikurangkan.

Katanya, pencerobohan dan pembukaan tanah secara besar-besaran di kawasan sensitif alam sekitar iaitu kawasan berbukit, hutan, kawasan tanah gambut untuk mengelakkan larian permukaan akibat penebangan pokok, perlu dielakkan kerana ia akan memburukkan keadaan banjir ketika hujan lebat.

"Ini relevan dalam kes pembangunan fizikal serta pembersihan kawasan hutan untuk pembalakan dan pertanian mega.

"Selain itu, elakkan pembangunan di dataran banjir, kawasan tanah rendah, rizab sungai dan kawasan tanah gambut kerana ia boleh bertindak sebagai penyerap air untuk menakung air berlebihan.

"Tanpa kawasan penyerap air semula jadi ini, air akan melimpah di kawasan sekitar dengan cepat," katanya.

Berita Harian X