Sabtu, 18 Disember 2021 | 4:00pm
Foto hiasan - NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM
Foto hiasan - NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM

'Cukup-cukuplah guna isu perkauman'

KUALA LUMPUR: Semua parti politik termasuk MCA perlu menolak apa juga bentuk perkauman dan ekstremisme bagi mengekalkan identiti Keluarga Malaysia yang berbilang kaum.

Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon, berkata pihaknya kecewa dengan segelintir ahli politik yang memainkan isu berkaitan agama serta perkauman secara melampau.

"Perkara ini amat membimbangkan dan sudah sampai masanya untuk MCA malah mana-mana parti politik di negara ini, bangun dan bersatu dan menolak perkauman dan ekstremisme.

"Ia satu tanda kuat iaitu cukup-cukuplah. Ahli politik menggunakan perkauman, agama malah pendudukan, bahasa sebagai taktik dan ini berbahaya.

"Kita mahu mengembalikan kuasa rakyat untuk menjadikan negara pelbagai kaum, pelbagai budaya yang menghormati kepelbagaian agama, budaya dan bahasa, supaya mengekalkan identiti Keluarga Malaysia yang berbilang kaum," katanya.

Sin Woon berkata demikian dalam ucapan perasmian Mesyuarat Agung Wanita MCA ke-46 di Wisma MCA, yang dihadiri 687 delegasi secara fizikal dan maya.

Hadir sama Ketua Wanita MCA, Datuk Heng Seai Kie.

Sementara itu, Pengerusi Wanita Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, dalam rakaman ucapannya berkata, sikap tidak mengenal penat dan kerjasama jentera wanita MCA, menyumbang kepada kemenangan besar BN dalam Pilihan Raya Negeri Melaka bulan lalu.

"Sikap kepemimpinan yang sederhana dan realistik, serta sentiasa bersama membangunkan negara terdiri daripada rakyat berbilang kaum, membuatkan MCA kekal relevan dan kembali mendapat kepercayaan rakyat meskipun pelbagai cabaran ditempuh.

"Sebagai parti mewakili masyarakat Cina, kejayaan yang dikecapi sedikit sebanyak adalah semangat MCA yang sentiasa berjuang bersama rakan-rakan dalam komponen BN," katanya.

Pada majlis sama, Seai Kie, berkata berikutan pembentangan Rang Undang-undang (RUU) Anti Gangguan Seksual 2021 di Parlimen pada Rabu lalu, pihaknya akan mewujudkan pusat khidmat nasihat bagi memberikan khidmat perundingan kepada mangsa di seluruh negara.

Beliau berkata, Pusat Bantuan Wanita dan Penasihat Undang-Undang (LAWA) akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), serta dibantu oleh 179 bahagian parti di seluruh negara bagi menjayakan usaha itu dan berkolaborasi dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

"Seminar siri jelajah akan diadakan dalam bahasa Cina, Melayu dan Tamil sama ada melalui video atau bersemuka, serta melancarkan kempen 'Katakan Tidak kepada Gangguan Seksual'," katanya.

Pada sidang media selepas itu, Sin Woon berkata, pihaknya akan memperkenalkan lebih ramai calon muka baharu terutama dalam kalangan orang muda untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

"Dalam PRU sebelum ini, kami menetapkan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada senarai calon adalah muka baharu, jadi saya yakin pada PRU akan datang lebih ramai daripada itu (30 peratus) akan diperkenalkan," katanya.

Mengenai kerjasama antara Parti Warisan Sabah (WARISAN) dengan MUDA akan menggugat kedudukan MCA dalam PRU-15, beliau berkata, ketika ini agak sukar diramal berikutan terlalu banyak parti baharu ditubuhkan terutama di Semenanjung.

Semalam, Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, dilaporkan berkata, pihaknya terbuka menerima mana-mana parti lain untuk bergabung dalam menghadapi PRU-15, memandangkan parti berkenaan secara rasmi melebarkan sayap ke Semenanjung. – BERNAMA

Berita Harian X