Sabtu, 18 Disember 2021 | 3:38pm
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Tanjong Datu, Datuk Amar Jamilah Anu (kiri) mengundi di Pusat Mengundi Dewan Kampung Muara Tuang, Kota Samarahan hari ini. - Foto NORSYAZWANI NASRI
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Tanjong Datu, Datuk Amar Jamilah Anu (kiri) mengundi di Pusat Mengundi Dewan Kampung Muara Tuang, Kota Samarahan hari ini. - Foto NORSYAZWANI NASRI

Nostalgia Jamilah di DUN Muara Tuang

KOTA SAMARAHAN: Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Muara Tuang mempunyai nostalgia tersendiri bagi bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Datuk Amar Jamilah Anu.

Beliau berkata, suaminya Allahyarham Tan Sri Adenan Satem yang juga bekas Ketua Menteri Sarawak pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang selama lima penggal di kawasan itu.

"Allahyarham Tan Sri Adenan menjadi ADUN Muara Tuang sejak pilihan raya kecil pada Januari 1979 sebelum berpindah ke DUN Tanjong Datu pada tahun 1996.

"Hubungan saya dengan penduduk di sini (DUN Muara Tuang) cukup akrab kerana telah mendaftar sebagai pengundi di DUN ini dan setiap kali pilihan raya saya akan mengundi di sini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui ketika mengundi di Pusat Mengundi Dewan Kampung Muara Tuang, di sini, hari ini.

DUN Muara Tuang mempunyai seramai 18,644 pengundi berdaftar dengan 805 pengundi membuang undi di Pusat Mengundi Dewan Kampung Muara Tuang hari ini.

Dalam pada itu, tinjauan yang dilakukan di pusat mengundi berkenaan dan di Pusat Mengun di Sekolah Kebangsaan (SK) Dato Traoh mendapati proses pembuangan undi berjalan lancar mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Kerusi DUN Muara Tuang menyaksikan pertandingan enam penjuru dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengekalkan Datuk Idris Buang sebagai penyandang pada pilihan raya ini.

Lima calon lain yang bertanding ialah Daud Eali mewakili Parti Amanah Negara(PAN), Yakub Khalid, Parti Sarawak Bersatu (PSB), Sagandin Sulaiman, Parti Bumi Kenyalang (PBK), Hipni Sulaiman (SEDAR), dan Ismawi Muhammad (Bebas).

Berita Harian X