Sabtu, 18 Disember 2021 | 10:34am
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - Foto fail NSTP
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - Foto fail NSTP

Ilmuwan, pemimpin politik bantu rangka formula perpaduan

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata gabungan dan jalinan yang erat antara ilmuwan dengan pemimpin politik sangat diperlukan dalam merangka formula terbaik mewujudkan suasana harmoni di negara ini.

Perdana Menteri berkata, suasana harmoni yang dikecapi negara sebelum ini perlu terus dipertahankan hingga ke generasi akan datang.

Katanya, pada masa yang sama, setiap Keluarga Malaysia juga perlu sentiasa hormat menghormati dan mengawal diri daripada membangkitkan persoalan sensitif terhadap sesuatu kaum.

"Elakkan punca yang boleh meruntuhkan perpaduan seperti fitnah, khabar angin dan buruk sangka, tapis dan selidiki perkhabaran terlebih dulu sebelum diterima dan menghargai nilai perpaduan," katanya berucap merasmikan Kongres Perpaduan Negara 2021 secara dalam talian, hari ini.

Kongres itu dianjurkan bersama Rabitah Antarabangsa Alumni al-Azhar Malaysia (WOAG Malaysia) dan Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM) dengan kerjasama Kementerian Perpaduan Negara dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Ucaptama kongres itu disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Idris Ahmad.

Ismail Sabri berkata, kerajaan berharap penganjuran persidangan dan majlis ilmu berkaitan perpaduan mampu menjadi satu platfom terbaik bagi percambahan ilmu serta pemikiran yang merentasi agama, akademik dan kepakaran bagi menilai semula aspek perpaduan di negara ini.

Katanya, ia bagi mencari satu mekanisme terbaik bagi menangani isu perkauman dan perpaduan, sesuai dengan situasi semasa dan cabaran yang dihadapi kini.

Perdana Menteri berkata, perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini sudah sekian lama terjalin kerana prinsip ini dipelihara dengan perasaan muhibah dan harmoni.

Maka, katanya, tidak hairan apabila Malaysia sudah lama menjadi model dan contoh kepada masyarakat lain di dunia.

Beliau berkata, ini kerana Malaysia berjaya menyatukan semua kaum melalui perkongsian kuasa dan berupaya kekal hidup dengan aman damai melalui sikap toleransi yang amat tinggi.

Bagaimanapun, beliau berkata, disebabkan perbezaan pegangan politik, ia kadangkala menjadi punca kepada perpecahan sedangkan politik sewajarnya menjadi wadah kepada penyatuan.

"Kepentingan peribadi dan pegangan politik akhirnya menerbitkan bibit permusuhan yang boleh membawa kepada perpecahan dalam kalangan keluarga Malaysia.

"Perkara ini menjadi suatu cabaran besar yang perlu dihadapi oleh bukan sahaja pemimpin tetapi juga Keluarga Malaysia bagi memastikan kestabilan negara terus terjamin.

"Sekiranya negara berada dalam keadaan tidak stabil, maka akan muncul pihak-pihak luar mahupun dalaman yang akan mengambil kesempatan dengan niat untuk terus menggugat perpaduan yang telah sedia terjalin selama ini," katanya

Lantaran itu, beliau berkata, sewaktu mengambil alih pentadbiran, kerajaan menandatangani Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik pada 13 September lalu.

Langkah itu, katanya, bagi membolehkan semua pihak dalam Keluarga Malaysia tanpa mengira fahaman politik, bersatu padu untuk bersama-sama berganding bahu menghadapi krisis berkembar kesihatan dan ekonomi.

Mengulas lanjut mengenai persidangan itu, Ismail Sabri berkata, kongres itu adalah suatu inisiatif yang sangat murni dan wajar dicontohi semua pihak bagi mengukuhkan perpaduan dan keharmonian kaum demi kesejahteraan rakyat serta kestabilan negara ini.

"Ia sejajar dengan konsep Keluarga Malaysia yang diperkenalkan kerajaan agar keharmonian antara agama dan bangsa yang pelbagai dapat dijaga," katanya.

Berita Harian X