Sabtu, 18 Disember 2021 | 8:06am
Calon Bebas bagi DUN Dudong, Engga Unchat. - Foto NSTP/MOHD ROJI KAWI
Calon Bebas bagi DUN Dudong, Engga Unchat. - Foto NSTP/MOHD ROJI KAWI

Calon Bebas tarik diri saat akhir

SIBU: Calon Bebas bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dudong, Engga Unchat, menarik diri untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN-12 Sarawak), hari ini.

Penarikan diri Engga, 65, dibuat menerusi surat yang ditandatangani Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi DUN Dudong, Abdul Razak Awang Bini.

Surat berkenaan mula tersebar di laman sosial lewat malam tadi dan Engga dalam hantaran di akaun Facebook tengah malam tadi mengesahkan keputusan menarik diri itu.

"Dengan surat ini, saya mengumumkan menarik diri sebagai calon yang akan bertanding dalam PRN-12 Sarawak.

"Saya calon no.8 (lambang KUNCI) di bahagian N.52 Dudong melalui surat ini mengesahkan penarikan diri saya daripada bertanding dalam PRN-12 Sarawak.

"Saya dengan ini memberikan sokongan penuh dan padu kepada calon Gabungan Parti Sarawak (GPS)," katanya.

Beliau berkata, keputusan itu diambil bagi memastikan kesinambungan pembangunan di kawasan Dudong.

"Saya menyeru pengundi di kawasan ini untuk memberi sokongan sepenuhnya kepada calon GPS," katanya.

Kawasan DUN Dudong menyaksikan paling ramai calon bertanding pada PRN-12 Sarawak iaitu seramai lapan orang.

Mereka ialah Datuk Seri Tiong King Sing, yang mewakili GPS; Paul Ling Fong dari DAP, calon Parti Sarawak Bersatu (PSB), Wong Hie Ping; calon Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB), Julius Enchane; calon Parti Bumi Kenyalang (PBK), Jane Lau Sing Wee dan calon Aspirasi Rakyat Sarawak (ASPIRASI), Josephine Lau Kiew Peng serta Fadhil Mohamad Isa atau 'Cardock', Bebas.

Berita Harian X