Jumaat, 17 Disember 2021 | 6:40pm
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin

Keganasan terhadap wanita adalah isu kesihatan - Khairy

KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, menyifatkan keganasan terhadap wanita sebagai isu kesihatan, pelanggaran hak asasi wanita, integriti tubuh badan serta hak seksual dan reproduktif.

Beliau berkata, wanita yang didera lebih berkemungkinan untuk terbabit dalam tingkah laku berisiko tinggi seperti merokok dan penggunaan bahan terlarang berbanding wanita yang tidak didera.

"Tambahan pula, tekanan kronik yang disebabkan oleh keganasan dikaitkan dengan kadar penyakit kronik yang lebih tinggi (seperti penyakit jantung dan diabetes), gangguan kesihatan mental dan jangkitan untuk wanita yang didera," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama melalui rakaman video pada Forum Wanita dan Kanak-Kanak Perempuan Malaysia Tahunan Kedua, anjuran Tabung Kependudukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Malaysia, hari ini.

Dalam ucapannya, Khairy juga berjanji untuk melakukan lebih banyak lagi untuk mewujudkan dasar yang memastikan perlindungan dan tumpuan terhadap kesejahteraan wanita serta kanak-kanak perempuan dalam semua aspek di negara ini.

"Hak untuk autonomi tubuh adalah janji yang diperakui secara sah oleh undang-undang negara kita untuk setiap rakyat Malaysia.

"Namun, saya tidak menafikan terdapat jurang sosial dan undang-undang penting yang perlu dirapatkan apabila membabitkan wanita dan kanak-kanak perempuan," katanya.

Khairy berkata, sebagai negara berdaulat, Malaysia mempunyai komitmen ke arah menegakkan hak asasi manusia untuk semua rakyat Malaysia, termasuk hak kesaksamaan, maruah, autonomi, maklumat dan integriti tubuh badan serta menghormati kehidupan peribadi dan standard kesihatan yang tertinggi, termasuk kesihatan seksual dan reproduktif.

Malaysia juga, katanya, antara negara yang menandatangani Persidangan Antarabangsa Mengenai Pembangunan Penduduk (ICPD) dan Program Tindakannya, pada 1994, yang memastikan hak dan pilihan reproduktif untuk wanita dan kanak-kanak perempuan.

"Ia diikuti Konvensyen Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) pada 1995, serta mengesahkan komitmen negara terhadap ICPD semasa Persidangan Nairobi pada 2019.

"Ini bukan aspirasi, ia adalah komitmen. Komitmen yang berakar daripada pemahaman iaitu sama seperti kebanyakan negara di dunia, kita mesti buat yang terbaik untuk memastikan dapat memenuhi potensi mutlak, hak dan pilihan individu tanpa mengira umur, jantina atau kepercayaan mereka.

"Kita menetapkan sasaran untuk mencapai matlamat ini menjelang 2030, selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG)," katanya.

Khairy berkata, kerajaan berusaha untuk menghentikan keganasan rumah tangga terhadap wanita, termasuk dengan menubuhkan Pusat Krisis Sehenti, yang menyediakan akses kepada mangsa keganasan bagi perlindungan, penjagaan kesihatan dan keadilan.

Sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia 2021 pada Oktober lalu, Khairy berkata, beliau melancarkan Pelan Strategik Kesihatan Mental Kebangsaan (2020-2025), yang antara lain mengetengahkan kerjasama antara sektor dan kesediaan krisis dalam menangani isu kesihatan mental, bunuh diri dan tingkah laku bunuh diri.

Beliau berkata, Malaysia mencapai kemajuan yang luar biasa bagi penjagaan kesihatan wanita dan kanak-kanak perempuan, dalam tempoh 50 tahun yang lalu.

Antaranya, kata Khairy, kadar kematian maternal menurun daripada 56.4 bagi setiap 100,000 kelahiran hidup pada 1980 kepada 23.5 bagi setiap 100,000 pada 2018.

"Dalam tempoh yang sama, kadar kelahiran selamat oleh bidan terlatih juga meningkat daripada 38 peratus kepada 99 peratus.

"Kita juga berjaya mengurangkan bilangan kes HIV baharu kepada 9.3 peratus bagi setiap 100,000 penduduk pada tahun 2020 dan mengekalkan kadar jangkitan vertikal HIV daripada ibu kepada anak di bawah dua peratus.

"Semasa pelancaran vaksin, kempen Ibunisasi kita bermula pada Jun 2021 dan hanya memenuhi keperluan ibu hamil dan menyusukan bayi, yang pertama seumpamanya di dunia," katanya.

Dalam kapasitinya sebagai Menteri Kesihatan dan Penyelaras untuk Pelancaran Vaksin, Khairy berkata, beliau juga berpeluang menjadi saksi kejayaan luar biasa golongan srikandi yang tidak mementingkan diri sendiri.

"Daripada jururawat, doktor, sukarelawan, pekerja pembersihan, penyedia perkhidmatan, penjaga, CSO (organisasi masyarakat awam) dan penjawat awam, kita tidak akan dapat berkumpul di sini hari ini dalam keadaan selamat, jika bukan kerana dedikasi, usaha dan pengorbanan mereka yang berkhidmat tanpa jemu dan lelah.

"Kata-kata penghargaan semata-mata tidak dapat menzahirkan betapa kita terhutang budi dengan golongan hawa ini. Kita mesti sentiasa berusaha untuk memastikan bahawa kita menyediakan setiap platform yang ada untuk anda semua berkembang maju," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X