Jumaat, 17 Disember 2021 | 4:29pm
Kedudukan bangunan Blok C Pangsapuri Seri Cempaka dekat Serendah yang berhampiran hutan mempunyai laluan air mendapan tanah dan keretakan struktur
Kedudukan bangunan Blok C Pangsapuri Seri Cempaka dekat Serendah yang berhampiran hutan mempunyai laluan air mendapan tanah dan keretakan struktur

MPHS sahkan rekahan pada Pangsapuri Seri Cempaka

KUALA LUMPUR: Siasatan Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) terhadap Pangsapuri Seri Cempaka, Pinggiran Tasik Kiambang dekat Serendah, mendapati berlaku rekahan terhadap di beberapa struktur bangunan kediaman terbabit.

Pemeriksaan awal itu mendapati, keretakan berlaku di bahagian permukaan dinding luar bahagian bawah bangunan 'ground beam', tiang (column) di bahagian tangga dan sebahagian permukaan dinding.

MPHS dalam kenyataannya hari ini, berkata rekahan pada bangunan terbabit memerlukan siasatan lanjut dan laporan daripada badan profesional.

"Jabatan Bangunan MPHS dan beberapa agensi teknikal, sudah membuat lawat periksa pada 7 April 2021 berhubung isu aduan yang dibangkitkan penduduk.

"Pangsapuri terbabit berusia lebih 20 tahun, terdiri daripada pembangunan kediaman berstrata yang mempunyai 90 petak, kos sederhana rendah yang mengandungi 3 blok dan 5 tingkat. Pembangunan ini juga dibangunkan oleh pemaju, Elegant Rank (M) Sdn Bhd dan status syarikat tersebut masih wujud," katanya.

BH pada 1 Disember lalu, melaporkan seramai 450 penduduk daripada 120 keluarga yang mendiami Pangsapuri Seri Cempaka itu, hidup dalam kebimbangan berikutan berlaku keretakan pada struktur kediaman mereka yang didakwa semakin teruk.

Tinjauan BH terhadap tiga blok pangsapuri lima tingkat berusia lebih 15 tahun itu, mendapati ada keretakan terutama di aras bawah struktur dinding luar bangunan dan beranda kebanyakan rumah.

Mengulas lanjut, MPHS berkata, kawasan pemajuan itu juga tidak mempunyai pengurusan yang dilantik mengikut peruntukan Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757).

"Ia berikutan kegagalan pelaksanaan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) di kawasan pemajuan tersebut. Sekiranya ada pihak pengurusan di pangsapuri tersebut, penyenggaraan dan pengurusan bangunan adalah menggunakan wang daripada akaun penyenggaraan.

"Ia merujuk kepada Subseksyen 24(3)(m) dan (n), Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757), yang memperuntukkan bahawa; Akaun penyenggaraan yang disebut dalam subseksyen (1) hendaklah digunakan semata-semata bagi maksud membayar perbelanjaan am atau lazim yang sebenar atau yang dijangkakan," katanya.

MPHS berkata, mereka akan memastikan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) di kawasan pemajuan itu dapat dilaksanakan pada tahun 2022 bagi memudahkan pengurusan dan penyelenggaraan terhadap kediaman strata berkenaan.

"Adalah menjadi tanggungjawab kepada pihak pengurusan yang dilantik, sekiranya ada untuk melantik profesional yang berkaitan bagi mengesahkan kegagalan struktur bangunan untuk diambil tindakan sewajarnya.

"Selain itu, majlis juga akan mengadakan perbincangan lanjut bersama agensi-agensi teknikal yang terbabit akan diadakan bagi membantu mencari penyelesaian terhadap isu yang dibangkitkan," katanya.

Berita Harian X