Khamis, 16 Disember 2021 | 6:55pm
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Mas Ermieyati Samsuddin ketika Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Parlimen hari ini. - Foto BERNAMA
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Mas Ermieyati Samsuddin ketika Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Parlimen hari ini. - Foto BERNAMA

RUU Langkah-Langkah Sementara Mengurangkan Kesan Penyakit COVID-19 diluluskan

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang Langkah-Langkah

Sementara bagi Mengurangkan Kesan Penyakit COVID-19

(Pindaan) 2021 diluluskan di Dewan Rakyat bagi mengurangkan impak perundangan COVID-19 ke atas individu dan perniagaan yang terkesan dalam tempoh pandemik.

RUU itu diluluskan dengan undi sebulat suara selepas 12 pembahas mengambil bahagian pada sesi perbahasan merangkumi pindaan yang diperuntukkan dalam 10 Fasal keseluruhannya.

Dengan kelulusan itu, ia mewujudkan lebih ruang dan peluang kepada proses pemulihan semula individu dan syarikat yang terkesan terutama berkaitan aspek ekonomi dalam tempoh pandemik.

Sesi penggulungan perbahasan rang undang-undang itu dilakukan tiga wakil kementerian iaitu Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ismail Abd Mutalib; Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim serta Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Mas Ermieyati semasa sesi penggulungan RUU itu, berkata pendekatan pelaksanaan akta itu adalah berbeza dengan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Akta Langkah-Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit COVID-19).

"Sekali lagi saya tegaskan bahawa penggubalan dan pelaksanaan Akta 829 ini adalah suatu 'kelegaan sementara' daripada tanggungjawab perjanjian bagi suatu tempoh yang ditetapkan," katanya, di sini hari ini.

Beliau berkata, tujuan pindaan di bawah Jabatan Perdana Menteri adalah untuk membantu lebih ramai rakyat yang terkesan dan gagal memenuhi obligasi kontraktual mereka.

Katanya, pada masa yang sama ia juga memperluaskan lagi ruang lingkup pelaksanaan pengantaraan di bawah Pusat Mediasi COVID-19 (PMC-19) kepada pihak yang mempunyai pertikaian kontraktual.

"Kerajaan meluluskan peruntukan berjumlah RM29.1 juta untuk menjalankan inisiatif mediasi di bawah PMC-19," katanya.

Sementara itu, Awang berkata, Kementerian Sumber Manusia merangka Pelan Transformasi Mahkamah Perusahaan bagi meningkatkan prestasi dan kecekapan dalam menyelesaikan kes yang dirujuk ke institusi itu.

Beliau berkata, sehingga November lalu, sebanyak 1,660 kes berjaya diselesaikan daripada 6,168 yang dikendalikan.

"Antara pendekatan diambil ialah meluaskan penggunaan sistem perekodan digital ke semua bilik bicara mahkamah dan tempoh indeks prestasi utama (KPI) bagi penyelesaian kes pembuangan kerja yang diterima pada 2018 ke atas dikurangkan daripada 16 kepada 12 bulan," katanya.

Berita Harian X