Khamis, 16 Disember 2021 | 2:26pm
Calon Bebas bagi DUN Bukit Assek, Hii Tiong Huat, berkempen di simpang empat Jalan Lanang Barat, Sibu. - Foto BERNAMA
Calon Bebas bagi DUN Bukit Assek, Hii Tiong Huat, berkempen di simpang empat Jalan Lanang Barat, Sibu. - Foto BERNAMA

Saingan sesama pembangkang untungkan GPS

SIBU: DAP mengakui berdepan cabaran getir menyaingi Gabungan Parti Sarawak (GPS) di empat kerusi di Sibu berbanding pilihan raya negeri terdahulu.

Ia berikutan kemunculan beberapa parti baharu yang turut meletakkan calon di kawasan sama.

Ahli Parlimen Sibu, Oscar Ling Chai Yew, berkata selepas 10 hari kempen Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN-12), pihaknya melihat saingan dalam kalangan sesama parti pembangkang, terutama Parti Sarawak Bersatu (PSB).

Beliau mengakui perkembangan itu tidak baik untuk DAP kerana perpecahan undi kalangan parti pembangkang hanya menguntungkan GPS.

"Kami harap di kawasan DAP bertanding, penyokong kekal menyokong kami manakala di kawasan tanpa DAP bolehlah mengundi PSB.

"Kita mahu membawa suara rakyat ke Dewan Undangan Negeri (DUN) dan menjadi pembangkang yang kuat bagi mengimbangi GPS," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat DAP Sibu, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong serta empat calon DAP di kawasan Sibu iaitu Irene Chang (Bukit Assek), Paul Ling Fong (Dudong), David Wong Kee Woan (Pelawan) dan Amy Lau Bik Yin (Bawang Assan).

DAP menghadapi saingan lapan penjuru di Dudong iaitu GPS, PSB, Parti Bumi Kenyalang (PBK), Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (ASPIRASI), Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) selain dua calon Bebas.

Di Bawang Assan, parti pembangkang tradisi itu berdepan saingan lima penjuru iaitu calon GPS, PSB, PBK dan Bebas.

Kerusi DUN Bukit Assek menyaksikan DAP ditentang empat pesaing merangkumi GPS, PSB, PBK dan calon Bebas manakala tiga penjuru di Pelawan berdepan calon GPS dan PSB.

Daripada empat calon itu, dua adalah penyandang iaitu Irene Chang dan David Wong.

Dua muka baharu DAP iaitu Paul Ling menghadapi saingan sengit berdepan Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP), Datuk Seri Tiong King Sing manakala Amy Lau menentang Presiden PSB, Datuk Seri Wong Soon Koh.

Oscar berkata, penyokong pembangkang di Sibu harus memberi tumpuan kepada DAP yang konsisten memperjuangkan isu rakyat Sarawak sejak 1978 dan bukan muncul ketika pilihan raya sahaja.

"Jika undi pembangkang berpecah di empat kawasan di Sibu itu, ia pasti akan menguntungkan GPS," katanya.

Berita Harian X