Khamis, 16 Disember 2021 | 12:37pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

KPLB utamakan penerima PPRT daripada senarai eKasih

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memberi keutamaan kepada senarai nama di dalam sistem eKasih bagi proses permohonan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata Pejabat Daerah akan menyediakan senarai nama yang dikategorikan sebagai kumpulan miskin dan memerlukan bantuan untuk memiliki rumah, bermula tahun hadapan.

"Senarai (nama) ini adalah daripada eKasih… ini akan diberi keutamaan dan berdasarkan itulah KPLB akan bagi (PPRT) dan ketiganya adalah senarai (nama) yang dikemukakan oleh Ahli-ahli Berhormat (Ahli Parlimen)," katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof (BERSATU-Alor Gajah) mengenai langkah penyelarasan KPLB dalam memberi bantuan segera kepada golongan miskin yang masih mendiami rumah daif.

Sementara itu, Mahdzir berkata, KPLB memperuntukkan RM361.1 juta membabitkan 2,400 unit PPRT Bina Baharu (BB) dan 11,450 unit PPRT Baik Pulih (BP) bagi pelaksanaan program berkenaan tahun depan.

"PPRT adalah usaha kerajaan bagi membolehkan rakyat mendiami rumah yang lebih selamat dan selesa khususnya kepada golongan miskin dan miskin tegar di kawasan luar bandar," katanya.

Menjawab soalan asal Mohd Redzuan yang bertanya dasar kerajaan membangunkan PPRT menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS), Mahdzir menjelaskan pelaksanaan PPRT bagi projek BB secara kaedah IBS telah dimulakan pada 2019 bertujuan untuk menjimatkan kos dan mengurangkan tempoh masa pembinaan rumah.

"Ini juga bagi menyahut saranan kerajaan yang menggalakkan peningkatan industri pembinaan dengan memberi tumpuan kepada penggunaan IBS, selaras dengan hala tuju ke arah mencapai status negara maju serta pembinaan lestari," katanya.

Beliau berkat,a bagi tempoh 2019 sehingga 2021, sebanyak 1,918 atau 50.3 peratus unit rumah PPRT BB dilaksanakan secara kaedah IBS berbanding dengan jumlah keseluruhan iaitu 3,833 unit.

Beliau berkata, KPLB juga menyokong usaha pihak agensi pusat untuk melaksanakan semakan semula insentif IBS sedia ada bagi menggalakkan pemaju menggunakan kaedah teknologi itu dalam mengawal kos dan meningkatkan kecekapan pembinaan terutama projek berskala kecil. -- BERNAMA

Berita Harian X