Rabu, 15 Disember 2021 | 1:46pm
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff, yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang menjawab soalan pada Pertanyaan-pertanyaan Jawab Lisan sempena Mesyuarat Penggal Keempat, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto BENAMA
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff, yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang menjawab soalan pada Pertanyaan-pertanyaan Jawab Lisan sempena Mesyuarat Penggal Keempat, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto BENAMA

13 peratus remaja, wanita B40 di ibu kota tidak mampu beli tuala wanita

KUALA LUMPUR: Kajian Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berkaitan kemiskinan haid membabitkan remaja perempuan dan wanita daripada kumpulan B40 sekitar ibu negara, mendapati 13.1 peratus daripada golongan itu tidak mampu membeli tuala wanita berikutan harga yang mahal.

Timbalan Menterinya, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff, berkata sebanyak 16.4 peratus daripadanya pula menyatakan mereka mengalami kesulitan untuk membeli produk pengurusan haid itu.

"Kajian rintis ini dilaksanakan membabitkan remaja perempuan dan wanita berusia 13 hingga 24 tahun di 13 komuniti Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan dua institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara, di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk T. Mohan yang ingin tahu keadaan sebenar masalah kemiskinan haid di negara ini serta rancangan jangka panjang kerajaan dalam mengatasi masalah tersebut.

Kemiskinan haid merujuk kepada situasi apabila perempuan atau keluarga mereka tidak mampu memiliki tuala wanita disebabkan kekangan kewangan.

Bagi mengatasi masalah itu, Siti Zailah berkata, KPWKM mengadakan program kesedaran dan program pemberian kit kebersihan kepada 130,000 remaja, selain program pekerti sebagai usaha mendidik remaja tentang pendidikan kesihatan.

"Program pengagihan (kit pengurusan haid) dilaksanakan ini melibatkan remaja berusia 13 hingga 17 tahun melalui sekolah-sekolah yang melibatkan 1,105 sekolah (di seluruh negara)," katanya.

Selain itu, beliau berkata KPWKM turut mengadakan program bagi membantu golongan remaja mengurus rutin kebersihan serta kesihatan fizikal dan mental terutama semasa pandemik COVID-19. – BERNAMA

Berita Harian X