Selasa, 14 Disember 2021 | 9:58pm
Lapan calon yang akan bertanding di DUN Dudong. - Foto MOHD ROJI KAWI
Lapan calon yang akan bertanding di DUN Dudong. - Foto MOHD ROJI KAWI

DUN Dudong terus hangat menjelang hari pengundian

SIBU: Kejutan yang dicetuskan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong dari Parti Sarawak Bersatu (PSB), Datuk Tiong Thai King, kelmarin yang meminta pengundi di situ memilih calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) menghangatkan lagi suasana kempen di kawasan paling ramai calon bertanding itu.

Thai King yang menyandang kerusi itu sejak pilihan raya negeri 2016 tidak disenaraikan PSB untuk mempertahankan kawasan itu, sebaliknya parti pembangkang tempatan Sarawak itu meletakkan calon muka baharu, Wong Hie Ping, bagi mencabar Datuk Seri Tiong King Sing yang mewakili GPS.

Tindakan PSB yang tidak menyenarai Thai King itu menimbul tanda tanya sehinggalah tokoh korporat berusia 76 tahun itu mengeluarkan kenyataan menerusi advertorial di sebuah akhbar tempatan kelmarin yang mengakui beliau sudah meninggalkan parti itu 1 Disember lalu.

Tindakan beliau meminta pengundi menyokong calon GPS juga berhubung kait dengan kepentingan perniagaan syarikat keluarga yang diterajuinya, Kumpulan Rimbunan Hijau, yang memerlukan kerjasama kerajaan untuk terus berfungsi dengan lancar.

Ia sekali gus menyaksikan Thai King sendiri seolah-olah tidak yakin PSB mampu membentuk kerajaan Sarawak pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 seperti yang mereka laungkan selama beberapa bulan sebelum ini.

Kenyataan itu mungkin dilihat menguntungkan GPS, namun calon parti pemerintah yang juga Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) serta Ahli Parlimen Bintulu itu juga dipertikaikan sebelum hari penamaan calon lagi.

Ini kerana DUN Dudong yang mempunyai seramai 34,955 pengundi secara tradisinya adalah milik satu lagi komponen GPS iaitu Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan mereka sudah mempersiapkan calon untuk merampas kerusi itu daripada PSB.

Kekecewaan berhubung pemilihan King Sing dari PDP untuk mewakili GPS di kawasan itu disuarakan Presiden SUPP, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian, tiga hari sebelum penamaan calon kerana beliau yakin calon pilihan mereka diletakkan di kawasan itu.

Selepas penamaan calon 6 Disember lalu, King Sing tampil merayu kepada SUPP supaya tidak mengikut emosi ekoran pemilihannya sebagai calon dan meminta pimpinan dan ahli SUPP Dudong bersama beliau untuk menghadapi saingan lapan penjuru di kawasan itu.

Namun, ada cakap-cakap yang mendakwa akan berlaku undi protes terhadap pemilihan King Sing dan ia akan memecahkan undi masyarakat Cina kerana daripada lapan calon yang bertanding di kawasan itu, lima adalah calon berbangsa Cina.

Selain GPS dan PSB, tiga lagi calon berbangsa Cina ialah Paul Ling Fong dari DAP; calon Parti Bumi Kenyalang (PBK), Jane Lau Sing Wee dan calon Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (ASPIRASI), Josephine Lau Kiew Peng.

Justeru, ada yang meramalkan perpecahan undi masyarakat Cina itu akan menguntungkan calon tiga calon Bumiputera iaitu Julius Enchane yang mewakili Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) serta dua calon Bebas, Engga Unchat dan Fadhil Mohd Isa.

Bagaimanapun, daripada tiga calon Bumiputera itu, Fadhil yang dikenali sebagai `Cardock' seorang YouTuber popular dilihat lebih menonjol.

Ini kerana beliau memanfaatkan sepenuhnya media sosial untuk berkempen bagi menyampaikan tawarannya kepada pengundi di kawasan yang terletak antara bandar dan separa bandar itu.

Selepas sembilan hari berkempen, tinjauan di laman sosial mendapati pendekatan Cardock menerima reaksi positif daripada orang ramai di kawasan itu dengan ada yang memberi kata perangsang kepada beliau untuk mengambil kesempatan daripada perpecahan yang dijangka berlaku di dalam undi masyarakat Cina.

Berita Harian X