Isnin, 13 Disember 2021 | 4:21pm
(Gambar fail) Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng.
(Gambar fail) Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng.

Tawaran pajakan tanah LGM Jalan Ampang tidak dimuktamadkan

KUALA LUMPUR: Ketiadaan persetujuan penerimaan daripada kedua-dua belah pihak, menyebabkan tawaran pajakan tanah Lembaga Getah Malaysia (LGM) di Lot 20013 Seksyen 88 Jalan Ampang tidak dimuktamadkan dan perjanjian tidak dapat ditandatangani.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, berkata mesyuarat Lembaga Perolehan LGM pada 30 November 2020 telah menilai tawaran diterima daripada enam syarikat.

Beliau berkata, ia sekali gus memutuskan bahawa berdasarkan penilaian jawatankuasa teknikal dan kewangan, tawaran terbaik diterima daripada An-Noor Foundation.

"An-Noor Foundation telah melepasi penilaian dan memberi tawaran yang terbaik, dengan tawaran nilai pajakan RM0.70 sekaki persegi bagi tempoh pajakan selama 10 tahun, dengan penyambungan lima tahun berserta kadar kenaikan 10 peratus setiap lima tahun.

"Penyambungan lima tahun tertakluk kepada persetujuan bersama. Bagaimanapun, tawaran pajakan ini tidak dimuktamadkan dan perjanjian tidak ditandatangani," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Seterusnya, Jeck Seng berkata, cadangan tawaran pembelian oleh syarikat Eurowhite bagi tanah Lot No 20012 seluas 3.59 hektar telah dibentangkan di Jawatankuasa Pelaburan LGM.

"Namun, tiada pengesyoran penjualan kepada syarikat terbabit kerana pihak LGM perlu menimbangkan pilihan terbaik dan mendapatkan ulasan daripada Jabatan Warisan Negara serta laporan perunding konservator yang dilantik, berikutan status hartanah tapak warisan," katanya.

Beliau berkata, sebarang bentuk pajakan daripada LGM mesti mengikut prosedur kerajaan, iaitu perlu melalui penilaian daripada LGM Properties Corporation (LGMPC) yang mempunyai dua jawatankuasa meliputi teknikal dan kewangan.

"Beberapa kriteria diwajibkan seperti menilai dari segi kelengkapan dokumen, penyata kewangan dan penyata bank.

"Selepas daripada cadangan, pajakan diambil kira dari semua aspek termasuk harga pajakan, jenis perniagaan yang akan dijalankan di atas tanah yang hendak dipajak, dan kenaikan harga tawaran jika ada pada tempoh tertentu serta keadaan pembayaran.

"Apabila proses ini dijalankan, maka LGMPC akan mengangkatnya kepada Lembaga Perolehan LGM untuk membuat tindakan selanjutnya," katanya sambil menambah ketika ini, perkara itu masih dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). – BERNAMA

Berita Harian X