Isnin, 13 Disember 2021 | 4:02pm
Bekas atlet OKU, Norisah Bahrom, menggenggam ijazah pada Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ke-64, Johor Bahru. - NSTP/NURUL AMANINA SUHAINI
Bekas atlet OKU, Norisah Bahrom, menggenggam ijazah pada Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ke-64, Johor Bahru. - NSTP/NURUL AMANINA SUHAINI

'Air mata lambang OKU berilmu'

JOHOR BAHRU: Air mata di pipi saat menggenggam ijazah melambangkan kecekalan insan istimewa yang pernah mahu berhenti sekolah lantaran malu dengan kecacatan saraf tunjang dihadapi.

Bekas atlet Orang Kurang Upaya (OKU) negara, Norisah Bahrom, 46, sukar membendung kegembiraan selepas berjaya menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda pada Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ke-64, hari ini.

Pernah mewakili negara dalam sukan tenis, wanita kental itu menempuh pelbagai liku dan cabaran sepanjang tujuh tahun berusaha menamatkan pengajian bidang kejuruteraan perisian.

"Saya mula mengalami kesukaran berjalan ketika berusia 15 tahun sebelum disahkan menghidap kecacatan saraf tunjang (Spina Bifida).

"Saya kerap meluahkan hasrat tidak mahu lagi bersekolah kepada orang tua sebab saya rasa malu dan amat rendah diri ketika itu.

"Mujurlah, perlahan-lahan saya mencari kekuatan baharu dan memotivasikan diri untuk keluar dari kampung di Muar dan memasuki Pusat Pemulihan Orang Cacat di Cheras dari Jabatan Kebajikan Masyarakat Muar.

"Saya babitkan diri dalam sukan dan menyambung pengajian ke UTM kerana mahu melihat sejauh mana saya boleh melangkah," katanya ketika ditemui selepas majlis konvokesyen berkenaan di sini, hari ini.

Antara pencapaian diperoleh Norisah sepanjang tempoh pengajian ialah tempat keempat beregu Sukan Para Asia i Incheon, Korea pada Kejohanan Sukan Fespic/Asia 2014, selain juara beregu Terbuka Malaysia 2016.

Insan paling kuat memberi dorongan ialah suaminya, Abu Samah Borhan, 36, yang juga atlet negara acara tenis berkerusi roda, selain mahu menjadi contoh terbaik kepada anak tunggal mereka, Adam Daniel, 10.

Norisah berkata, kekuatan utamanya dalam hidup ialah arwah bapanya, Bahrom Mad Yasin, dan arwah ibu, Zainon Ibrahim.

"Mereka pergi tanpa sempat melihat saya menggenggam ijazah, namun sepanjang saya melanjutkan pengajian dan aktif sukan, mereka tidak putus asa memberi galakan.

"Saya belum putuskan sama ada mahu menyambung pengajian peringkat lanjutan dalam bidang sama atau menjurus kepada kerjaya berkaitan pengurusan sukan.

"Berdasarkan pengalaman, saya sedari kita tidak akan ke mana tanpa ilmu, terutama OKU.

"Ilmu dapat meningkatkan taraf OKU dan mengubah pandangan masyarakat terhadap golongan ini. Bagi saya, kalau orang lain boleh buat, mengapa saya tidak," katanya.

Melupakan sukan seketika bagi memberi perhatian penuh terhadap anak, Norisah mulai aktif semula dan menjalani latihan tenis berkerusi roda.

Pada konvokesyen kali ini, seramai 8,956 graduan menerima anugerah masing-masing iaitu 748 orang bagi Ijazah Doktor Falsafah; 1,915 (Ijazah Sarjana); 4,326 (Ijazah Sarjana Muda); empat (Ijazah Anumerta); 719 (Diploma Sepenuh Masa) dan 1,248 (Diploma Program Kerjasama UTMSPACE).

Daripada jumlah itu, 812 orang adalah graduan antarabangsa dari 54 negara.

Berita Harian X