Ahad, 12 Disember 2021 | 7:50pm
Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran berucap pada Perhimpunan Agung MIC Ke-75 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini. - Foto BERNAMA
Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran berucap pada Perhimpunan Agung MIC Ke-75 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini. - Foto BERNAMA

'Beri ruang kepada PM tentukan tempoh masa PRU-15'

KUALA LUMPUR: MIC menggesa pucuk kepemimpinan Barisan Nasional (BN) untuk memberikan ruang yang secukupnya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bagi menentukan masa paling sesuai mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran, berkata tiga parti komponen BN iaitu MCA, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan MIC, telah membuat keputusan untuk menyerahkan tanggungjawab mengadakan PRU-15 kepada kebijaksanaan Ismail Sabri.

"Pada masa yang sama, kepada persoalan bila PRU harus diadakan, saya dengan rendah diri menggesa pucuk kepemimpinan BN untuk memberi ruang yang secukupnya kepada Yang Amat Berhormat PM kita untuk menentukan masa yang paling sesuai untuk mengadakan PRU-15," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Agung MIC ke-75 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini hari ini.

Perhimpunan yang dihadiri kira-kira 2,000 perwakilan MIC itu dirasmikan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. – BERNAMA

Berita Harian X