Ahad, 12 Disember 2021 | 5:57pm
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) ketika menghadiri Perhimpunan Agung MIC Ke-75 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini. - Foto BERNAMA
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) ketika menghadiri Perhimpunan Agung MIC Ke-75 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini. - Foto BERNAMA

Jawatankuasa Khas Kabinet Masyarakat India akan dibentuk

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju membentuk Jawatankuasa Khas Kabinet Masyarakat India bagi memastikan perancangan jangka pendek dan panjang di bawah Pelan Tindakan Masyarakat India (PTMI) dapat dilaksanakan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pembentukan jawatankuasa itu demi kepentingan masyarakat India di negara ini.

"Satu pelan tindakan untuk masyarakat India sudah dibentuk. Ia dikenali sebagai Pelan Tindakan Masyarakat India (PTMI) dan akan dilancarkan dalam masa terdekat, merangkumi pelbagai sasaran jangka pendek dan panjang, bersama agensi peneraju dan pelaksana.

"Kerajaan akan memastikan taraf hidup masyarakat India terus diperbaiki berpandukan PTMI dan penambahbaikan akan dilakukan, dari semasa ke semasa sejajar dengan Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) dan Bajet 2022," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan khas sempena Perhimpunan Agung MIC ke-75 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), hari ini.

Yang turut hadir, Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran serta timbalannya, Datuk Seri M Saravanan.

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga bersetuju untuk menambah jumlah peruntukan dari RM20 juta kepada RM25 juta setahun kepada Universiti Institut Perubatan, Sains dan Teknologi Asia (AIMST) mulai tahun ini.

"Untuk AIMST ini, saya membawa permohonan daripada Tan Sri Presiden MIC dan disokong oleh timbalan presiden (MIC) dan Kabinet meluluskan mulai 2022, peruntukan untuk AIMST ditambah menjadi RM25 juta setahun," katanya.

Bagi peruntukan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil pula katanya, Kementerian Pendidikan (KPM) akan memperuntukkan RM35 juta untuk penyelenggaraan di sekolah berkenaan tahun depan.

"Tahun ini, kita berikan peruntukan sama rata kepada setiap sekolah, sama ada SJK Cina, SJK Tamil atau lain-lain sekolah. Setiap sekolah, apa jenis sekalipun akan terima RM70,000 setiap sekolah. Tidak ada sekolah dapat lebih dan kurang, kalau kurang lagi, boleh mohon daripada menteri atau Perdana Menteri," katanya.

Menyentuh cadangan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri, Ismail Sabri berkata, beliau akan berbincang lanjut dengan Kementerian Kewangan serta Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan sememangnya mengambil berat akan kebajikan kaum India di negara ini, dengan tahun ini saja, kerajaan sudah menyediakan bantuan tunai kepada 8.4 juta penerima B40 dan Geran Khas Prihatin (GKP) kepada satu juta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Mikro.

"Hal ini termasuk 7.6 peratus atau 640,000 B40 daripada komuniti India dan lapan peratus bersamaan 80,000 PKS Mikro India. Dengan itu, komuniti India bakal menerima manfaat, lebih RM600 juta daripada Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) pada 2022," katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, MIC sudah membuktikan mereka bukan saja pejuang sejati untuk masyarakat India di Malaysia, malah rakan setia dalam gabungan Barisan Nasional (BN).

"Kepemimpinan BN tidak memaksa sesiapa untuk kekal bersama. Nilai kejujuran dan keikhlasan diuji, sewaktu BN berhadapan dengan cabaran paling besar sejak penubuhannya. MIC memilih untuk terus kekal bersama BN. Tan Sri Vicky pada 21 Oktober 2018 menegaskan bahawa MIC akan kekal bersama UMNO, MCA dan PBRS.

"Kesetiaan amat penting pada bila-bila masa, dan MIC 'walk the talk' bersama mengharungi masa depan politik tanah air. Kematangan berpolitik dan komitmen kepemimpinan MIC, meyakinkan BN untuk terus bersolidariti dan mara ke hadapan sebagai satu pasukan, demi pembangunan negara. Terima kasih MIC!," katanya.

Mendepani Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, Ismail Sabri berkata kepemimpinan MIC perlu bersikap proaktif dan prihatin terhadap keadaan semasa, bukan sekadar bertujuan meraih sokongan masyarakat pada PRU-15 tetapi melakukannya dengan penuh keikhlasan, sekali gus terus memperjuangkan kepentingan kaum India khususnya, dan rakyat keseluruhannya.

Berita Harian X