Ahad, 12 Disember 2021 | 4:32pm
Adnan bersama isteri, Roziana dan anak lelakinya Muhammad Azfan Zariff menunjukkan skrol ijazah dan gambar arwah anak sulongnya, Muhammad Amirul Bakhtiar pada Hari Konvokesyen UMT ke-18 hari ini. - Foto NSTP/Zaid Salim
Adnan bersama isteri, Roziana dan anak lelakinya Muhammad Azfan Zariff menunjukkan skrol ijazah dan gambar arwah anak sulongnya, Muhammad Amirul Bakhtiar pada Hari Konvokesyen UMT ke-18 hari ini. - Foto NSTP/Zaid Salim

'Berlinang air mata ayah'

bhnews@bh.com.my

KUALA NERUS: Hari konvokesyen anak sulong menjadi detik sedih bagi keluarga Adnan Endut, 57, apabila majlis berkenaan dihadiri tanpa kelibat anak lelakinya yang sepatutnya menaiki pentas di Dewan Sultan Mizan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) ke-18, hari ini.

Bagi menyempurnakan majlis berkenaan, Adnan yang juga kakitangan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) tidak dapat menahan kesedihan ketika menerima segulung ijazah bagi mewakili arwah anaknya, Muhammad Amirul Bakhtiar, 23, yang meninggal dunia pada September tahun lalu.

Muhammad Amirul Bakhtiar maut ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu selepas terbabit kemalangan jalan raya September tahun lalu.

Kemalangan berlaku ketika arwah melakukan aktiviti konvoi berbasikal bersama bapanya di Telemong, Hulu Terengganu. Arwah cedera dalaman selepas basikal dinaikinya dirempuh lembu.

"Sebenarnya hampir setahun saya sudah tidak keluar air mata tetapi apabila pihak pengurusan UMT menjemput saya pagi ini untuk menerima skrol, kami sangat terharu dan sedih kerana penghargaan yang diberi kepada kami amat luar biasa," katanya yang turut diiringi isteri, Roziana Wahab, 48, dan anak lelakinya, Muhammad Azfan Zariff, 11.

Allahyarham Bakhtiar adalah pelajar cemerlang dalam jurusan Sarjana Muda Agroteknologi Akuakultur dan juga bekas Ahli Jawatankuasa Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).

Menurut Adnan, ketika tragedi itu anak sulungnya sudah menamatkan pengajian di UMT. Arwah berhasrat meneruskan pelajaran di peringkat tertinggi di universiti sama. Sebelum ini arwah menerima Diploma Perikanan UMT pada 2017.

"Ijazah yang ditinggalkan arwah ini sangat bermakna dan menjadi kenangan keluarga buat selama-lamanya," katanya.

Berita Harian X