Sabtu, 11 Disember 2021 | 7:15pm
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid. - Foto fail BERNAMA
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid. - Foto fail BERNAMA

Kes buli: Empat lagi pelajar ditahan

IPOH: Empat lagi pelajar ditahan bagi membantu siasatan berhubung insiden buli di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar, menjadikan kesemuanya 10 pelajar ditahan setakat ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, berkata kesemua empat pelajar yang ditahan hari ini berusia antara 13 hingga 15 tahun.

"Setakat ini polis sudah menahan 10 pelajar dan enam yang ditahan semalam sudah dibebaskan dengan jaminan polis petang ini.

"Yang lain kita akan bebaskan selepas siasatan selesai," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mior Faridalathrash berkata kesemua mereka ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta komunikasi dan Multimedia 1998.

Tindakan beberapa remaja yang dipercayai pelajar asrama menumbuk dan menendang seorang pelajar lain secara beramai-ramai, tular di media sosial menerusi beberapa video berdurasi 13 hingga 30 saat, hingga menerima kecaman orang ramai.

Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira 1 hingga 2 pagi pada Khamis lalu membabitkan tujuh suspek remaja dan seorang mangsa yang kesemuanya berusia 13 tahun.

KES BULI PELAJAR SEKOLAH

*Polis menahan enam suspek kes buli didakwa berlaku di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar, Perak, semalam.

*Tiga pelajar ditahan polis selepas dipercayai membuli dua pelajar junior di bilik asrama sebuah madrasah tahfiz di Hulu Langat, 31 Oktober lalu.

*Polis menahan dua pelajar lelaki yang videonya tular memukul seorang pelajar lain di perkarangan sekolah menengah di Seremban, pada 3 Oktober 2020

*Sekumpulan pelajar senior yang membuli tiga pelajar Tingkatan 1 di asrama sebuah sekolah menengah di Padawan, Sabah, ditahan polis untuk siasatan pada 20 Januari 2020

*Empat remaja ditahan polis Ibu Pejabat Daerah (IPD) Machang, selepas dipercayai terbabit dalam video buli yang tular, Julai 2019

*Lima remaja membuli seorang pelajar sekolah menengah berusia 13 tahun di Miri, Sarawak, yang rakaman videonya tular di laman sosial pada 15 Julai 2019

*Lapan individu termasuk empat murid Sekolah Kebangsaan (SK) Lubuk Kawah, Besut, Terengganu dipanggil untuk memberi keterangan berhubung kes buli yang viral di media sosial, pada 14 Februari 2019

*Pelajar lelaki sekolah menengah di Sri Aman, Sarawak, ditahan polis kerana meletakkan racun lipas dalam mi goreng sebelum memberi rakan sekelasnya untuk makan, pada 20 Julai 2017

Berita Harian X