Sabtu, 11 Disember 2021 | 12:52pm
Calon Bebas bagi kerusi DUN Dudong, Fadhil Mohd Isa yang lebih dikenali sebagai Cardock. - Foto NSTP/Mohd Roji Kawi
Calon Bebas bagi kerusi DUN Dudong, Fadhil Mohd Isa yang lebih dikenali sebagai Cardock. - Foto NSTP/Mohd Roji Kawi

Perjuangan hak Bumiputera bukan rasis - Cardock

SIBU: Youtuber 'Cardock' kesal dituduh bersikap perkauman hanya kerana memperjuangkan hak Bumiputera sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN-12) sejak seminggu lalu.

Cardock atau nama sebenar Fadhil Mohd Isa, 37, berkata lebih mengecewakan apabila tuduhan itu datang dalam kalangan Bumiputera sendiri.

Beliau yang bertanding sebagai calon Bebas di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Dudong terkilan apabila ada yang mempersoalkan bapanya yang berasal dari Semenanjung.

"Saya tak faham mengapa mereka menuduh saya cuba membawa budaya Malaya ke Sarawak hanya kerana sepanjang tempoh berkempen atau sebelumnya lagi saya memperjuangkan hak Bumiputera.

"Mereka menuduh saya rasis kerana saya merayu undi Bumiputera bagi memperjuangkan hak masyarakat Bumiputera di Dudong yang sering dipinggirkan wakil rakyat bukan Bumiputera sebelum ini.

"Kalau tuduhan itu datangnya dari bukan Bumiputera, saya faham. Tetapi saya pelik kerana ia datang dari Bumiputera sendiri," katanya.

Cardock mengakui bapanya berasal dari Semenanjung, namun ibunya adalah anak jati Sarawak berbangsa Iban berasal dari Pasin manakala isterinya pula berdarah campuran Cina.

Sebagai YouTuber, Cardock memanfaatkan sepenuhnya media sosial untuk menjelaskan tawarannya kepada pengundi di Dudong.

Menurutnya, sebahagian besar kawasan DUN Dudong berada di kawasan luar bandar dan masih jauh ketinggalan berbanding kawasan bandar yang berada di dalam DUN sama.

"Saya menggunakan media sosial untuk memperjuangkan keperluan asas di kawasan luar bandar di Dudong seperti bekalan air, elektrik, internet serta kemudahan lain yang masih belum diterima.

"Itu yang saya perjuangkan, namun ada yang memperlekehkannya," katanya.

Justeru Cardock merayu supaya pengundi di DUN Dudong khususnya yang berada di luar bandar supaya menilai perjuangan beliau itu.

Kerusi DUN Dudong menyaksikan paling ramai calon bertanding pada PRN-12 dengan lapan orang membabitkan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Sarawak Bersatu (PSB), Parti Bumi Kenyalang (PBK), Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (ASPIRASI), Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB), DAP, serta dua calon Bebas termasuk Cardock.

Berita Harian X