Sabtu, 11 Disember 2021 | 12:23am
Polis menahan empat pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar, hari ini berkaitan kes buli secara kekerasan seperti rakaman video tular di media sosial. - Foto TULAR
Polis menahan empat pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar, hari ini berkaitan kes buli secara kekerasan seperti rakaman video tular di media sosial. - Foto TULAR

Kes buli: Polis tahan empat pelajar

IPOH: Polis menahan empat pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar, hari ini berkaitan kes buli secara kekerasan seperti rakaman video tular di media sosial.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, berkata semua pelajar berusia 13 tahun itu ditahan selepas memberi keterangan di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuala Kangsar antara jam 6 petang hingga 7 malam.

"Kita menahan empat pelajar untuk siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Sebelum ini, beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Katanya, polis sudah memanggil semua pelajar yang dikatakan terbabit dalam kejadian buli secara kekerasan seperti rakaman video tular di media sosial termasuk pemilik akaun media sosial yang menularkan video berkenaan bagi membantu siasatan.

Siasatan awal polis mendapati, kejadian buli terbabit berlaku pada antara jam 1 hingga 2 pagi kelmarin (9 Disember) membabitkan mangsa dengan tujuh suspek remaja lain yang semuanya adalah pelajar Tingkatan 1 berusia 13 tahun.

Beliau berkata, pihaknya juga mengesahkan menerima satu laporan berkaitan kes itu daripada pengetua sekolah terbabit kira-kira jam 1 tengah hari tadi berikutan daripada tularnya rakaman video insiden berkenaan sehingga mendapat perhatian meluas warganet.

Berita Harian X