Sabtu, 11 Disember 2021 | 12:00am
Wartawan dan jurugambar The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) memenangi empat anugerah utama dan sembilan merit dalam Anugerah ‘Kinabalu Press Award’ 2021, malam tadi. - Foto Mohd Adam Arinin
Wartawan dan jurugambar The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) memenangi empat anugerah utama dan sembilan merit dalam Anugerah ‘Kinabalu Press Award’ 2021, malam tadi. - Foto Mohd Adam Arinin

NSTP gondol empat anugerah utama, sembilan merit

KOTA KINABALU: Wartawan dan jurugambar The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) memenangi empat anugerah utama dan sembilan merit dalam Anugerah 'Kinabalu Press Award' 2021, malam tadi.

Wartawan Berita Harian memenangi anugerah utama bagi laporan berkumpulan Anugerah Kewartawanan (Rencana dan Berita Rencana) kategori Bahasa Melayu oleh Mohd Izham Unnip Abdullah, Suzianah Jiffar dan Poliana Ronnie Sidom dengan laporan khas bertajuk 'Kes Penculikan Di Sabah, Warga Kita Jadi Pengkhianat'.

Bagi kategori sama, Junaidi Ladjana dan Fardy Bunga dari Harian Metro turut meraih merit.

Anugerah utama bagi laporan sukan Bahasa Melayu dimenangi Recqueal Raimi (Harian Metro) dengan laporan bertajuk 'Pelatih Kuda Pacuan Termuda' dan Norasikin Daineh dari Harian Metro yang memenangi merit bagi kategori yang sama.

Bagi anugerah utama laporan kategori Sukan pula dimenangi Olivia Jessica Peter (New Straits Times) menerusi laporan 'Pelari Sabah bertutur Dalam Bahasa Dusun Buat Orang Ramai Teruja di samping turut meraih merit bagi kategori baharu, Berita COVID-19 Sabah dalam bahasa Inggeris.

Dalam pada itu, Olivia dan Avila Geraldine dari akhbar The New Straits Times (NST) meraih anugerah utama laporan berkumpulan bagi laporan kategori Alam Sekitar bertajuk 'Tam, Satu-satunya Badak Sumatra di Malaysia Mati'.

Wartawan sambilan Berita Harian, Rafiqah Dahali meraih merit bagi dua kategori, laporan berita (non rencana) dan kategori perniagaan dan ekonomi manakala Mohd Izham Unnip Abdullah dari Berita Harian juga meraih merit bagi kategori perniagaan dan ekonomi.

Olivia dan Avila dari NST turut meraih merit bagi laporan secara berkumpulan laporan berita (non rencana) dalam Bahasa Inggeris.

Bagi anugerah merit laporan bahasa Inggeris kategori hiburan, budaya dan seni diraih oleh Avila (New Straits Times).

Jurugambar sambilan NSTP, Mohd Adam Arinin memenangi merit bagi Anugerah Gambar Kewartawanan.

Hadiah utama disampaikan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor.

Turut hadir, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan, dan Alam Sekitar, Datuk Joniston Bangkuai dan Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA), Datuk Muguntan Vanar.

Berita Harian X