Jumaat, 10 Disember 2021 | 5:04pm
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin. - Foto NSTP
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin. - Foto NSTP

Kes buli, tumbuk perut pelajar bukan institusi bawah KPM

KUALA LUMPUR: Siasatan awal Kementerian Pendidikan (KPM) berkaitan video tular membabitkan kes buli didapati tidak membabitkan institusi di bawah KPM.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata kementerian itu juga sudah berhubung dengan pihak yang terbabit dan dimaklumkan tindakan susulan sudah diambil.

"Berkaitan video tular (kes buli), siasatan awal mendapati ia tidak membabitkan institusi di bawah KPM.

"KPM komited menyediakan persekitaran sekolah yang selamat selaras konsep #sekolahkuSEJAHTERA," katanya dalam kenyataan di laman sosial Twitternya.

BH hari ini melaporkan, seorang pelajar lelaki sebuah sekolah berasrama di Perak menjadi mangsa buli sekumpulan pelajar lelaki sehingga tular di media sosial.

Menerusi beberapa klip video yang tular itu, dapat dilihat pelajar terbabit mengepung dan menumbuk perut pelajar lelaki itu sambil tertawa sesama mereka.

Susulan itu, Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, sudah mengarahkan Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob untuk menjalankan siasatan terperinci berhubung kejadian itu.

Berita Harian X