Rabu, 8 Disember 2021 | 8:36pm
Datuk Seri Tiong King Sing menunjukkan risalah yang mengandungi tawarannya kepada penduduk di kawasan Dudong. - NSTP/MOHD ROJI KAWI
Datuk Seri Tiong King Sing menunjukkan risalah yang mengandungi tawarannya kepada penduduk di kawasan Dudong. - NSTP/MOHD ROJI KAWI

'Dudong perlukan pembangunan jangka panjang'

SIBU: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dudong, Datuk Seri Tiong King Sing, memberi 10 tawaran jika menjadi pilihan pengundi pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN-12).

Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) itu membuat tawaran menerusi manifesto bertema `Sehati sejiwa membawa pembangunan dan kesejahteraan'.

Tawaran pertamanya ialah merancang pembangunan jangka panjang bagi kawasan Dudong berdasarkan konsep 2R1T ialah penyusunan semula (restructure), pembinaan semula (rebuild) dan berkembang maju (thrive).

Beliau turut berjanji untuk memastikan kelancaran perancangan dan projek pembangunan sebagai pemangkin pasaran tempatan di Dudong, selain mewujudkan persekitaran mesra perniagaan bagi menarik minat anak muda.

King Sing yang juga Ahli Parlimen Bintulu turut berhasrat memperkenalkan teknologi dan kaedah pengurusan termaju dari negara maju untuk memacu perkembangan industri khususnya dalam industri pertanian, pembinaan kapal bagi meningkatkan pendapatan serta peluang pekerjaan kepada penduduk Dudong.

"Kawasan Dudong sudah lama menghadapi masalah banjir dan saya akan berusaha memohon peruntukan daripada kerajaan Persekutuan dan negeri untuk melaksanakan pelan tebatan banjir yang berkesan dalam jangka masa panjang.

"Kerajaan negeri sudah meluluskan peruntukan RM6 juta kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk membuat kajian di Sungai Rajang dan Sungai Igan bagi mencari penyelesaian masalah banjir di Sibu khususnya dalam kawasan Dudong," katanya.

Beliau turut akan berusaha meningkatkan perkhidmatan sistem perubatan awam dengan memperkasakan sumber perubatan dan mempelawa lebih ramai profesional dalam bidang perubatan untuk menjadikan Sibu sebagai hab perubatan Sarawak.

Beliau juga akan memastikan perkhidmatan awam bermutu ditawarkan kepada rakyat dengan memperkenalkan petunjuk prestasi utama (KPI) supaya semakan prestasi dapat dijalankan dengan jelas dan berkesan.

Sebagai Duta Khas Ke China, King Sing sedia mewujudkan peluang pengajian tinggi dan biasiswa dalam usaha mencungkil potensi generasi muda menerusi program pendidikan Malaysia-China.

"Saya juga mahu menerapkan konsep berdikari dan kepentingan perkongsian faedah secara adil serta membantu meningkatkan taraf hidup penduduk luar bandar menerusi pelaksanaan pemodenan rumah panjang dengan menambah baik sistem kemudahan awam seperti rangkaian jalan raya, bekalan air dan elektrik," katanya.

Berita Harian X