Rabu, 8 Disember 2021 | 1:34pm

Pembangkang usul bahas larangan perarakan kavadi, chingay

KUALA LUMPUR: Seorang Ahli Parlimen pembangkang mengemukakan usul di Dewan Rakyat, hari ini, untuk membahaskan keputusan melarang sebarang bentuk perarakan perayaan, termasuk perarakan kavadi bagi Thaipusam dan chingay sempena Tahun Baharu Cina pada tahun depan.

RSN Rayer (PH-Jelutong) mengemukakan usul itu kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun, bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) kerana ia membabitkan perkara berkepentingan awam yang perlu disegerakan.

Beliau mendakwa, kenyataan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique yang memaklumkan mengenai larangan itu pada sidang Dewan Rakyat, semalam, telah menimbulkan perasaan kurang senang dalam kalangan masyarakat terbabit.

"Selepas berita itu (mengenai larangan perarakan perayaan) dilaporkan, banyak maklum balas, rintihan, aduan dan ketidakpuasan daripada rakyat di luar sana.

"Mereka bertanya kalau Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka boleh diadakan, PRN Sarawak boleh diteruskan, dan juga memandangkan lebih 95 peratus populasi dewasa sudah lengkap vaksinasi, kenapa larangan ini diarahkan. Malah, ia juga boleh menyebabkan kegusaran dan masalah lain yang boleh menggugat keharmonian di negara kita.

"Saya bagi pihak pembangkang merayu kepada Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Perpaduan Negara supaya menyemak semula keputusan itu.

"Saya cuma merayu perarakan sempena Thaipusam dan chingay dibenarkan dengan pematuhan SOP (prosedur operasi standard) yang ketat," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Rayer berkata, usul itu sudah dikemukakan kepada Azhar, pagi tadi, dan meminta agar ia diterima serta dibahaskan dengan segera.

"Untuk makluman, kemuncak perayaan Thaipusam dan chingay adalah perarakan. Jika tiada perarakan, tidak ada sebarang perayaan. Justeru, saya memohon diperbetulkan perkara itu dan merayu supaya ia diberi perhatian sebelum dewan yang mulia ini ditangguhkan," katanya.

Halimah ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat, semalam, menjelaskan larangan itu adalah berikutan negara sedang berdepan jangkitan varian baharu COVID-19, Omicron ketika ini.

Bagi penyediaan SOP perayaan Thaipusam, Halimah dipetik sebagai berkata, pihaknya sudah mengadakan sesi libat urus bersama 10 pemimpin agama Hindu dan wakil Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta KKM pada 2 Disember lalu.

Katanya, ia bertujuan mendapatkan maklumat terperinci mengenai aktiviti dan upacara keagamaan yang sesuai bagi perayaan berkenaan.

(Gambar fail) Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer. - FOTO BERNAMA
(Gambar fail) Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer. - FOTO BERNAMA
Berita Harian X