Selasa, 7 Disember 2021 | 8:31pm
Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, diwawancara pengacara Tawfiq Isa (kiri) dan Nurliana Zukifli (tengah) pada program Aspirasi Keluarga Malaysia 100 Hari di Wisma BERNAMA, hari ini. - Foto BERNAMA
Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, diwawancara pengacara Tawfiq Isa (kiri) dan Nurliana Zukifli (tengah) pada program Aspirasi Keluarga Malaysia 100 Hari di Wisma BERNAMA, hari ini. - Foto BERNAMA

KeTSA fokus pengurusan harta pusaka, tanah Persekutuan

KUALA LUMPUR: Pelancaran inisiatif Tarif Elektrik Hijau (GET) menjadi antara lima pencapaian Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) sempena 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia,

Menterinya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata pencapaian lain merangkumi Program Skim Pemeteran Tenaga Bersih NEM NOVA (Net Offset Virtual Aggregation), inisiatif pemeliharaan dan pemuliharaan Harimau Malaya, pindaan Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 (Akta 98) serta pengurusan Tanah Persekutuan yang belum dibangunkan.

"Dalam tempoh 100 hari, saya memilih antaranya pengurusan harta pusaka kerana ia akan banyak membantu rakyat khususnya pasca pandemik ini, rakyat masih dalam proses pemulihan dan mendapat sambutan yang baik.

"Dalam hal (pengurusan) pusaka, kerajaan memberi kemudahan kepada rakyat," katanya dalam program 'Malaysia Petang Ini: Aspirasi Keluarga Malaysia 100 Hari KeTSA' terbitan BERNAMA TV, hari ini.

Mengenai pengurusan Tanah Persekutuan yang belum dibangunkan, beliau berkata, KeTSA menggiatkan usaha bagi menawarkan kepada orang ramai untuk memajak atau menyewa lot tanah berkenaan dalam tempoh tertentu.

Beliau berkata, seramai 312 penyewa lot tanah berkenaan dicatat pada tahun ini dan 1,444 lot tanah kepunyaan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) belum dibangunkan setakat hari ini.

"Saya menekankan kepada pegawai KeTSA supaya memberi keutamaan terhadap graduan yang belum mempunyai pekerjaan, yang tidak mempunyai modal besar dan tidak mempunyai tempat, kita beri sewa (lot tanah) dengan kadar yang munasabah.

"Saya juga menetapkan di KeTSA untuk memberi keutamaan kepada rakan usahawan Orang Kurang Upaya (OKU) yang memerlukan tanah untuk digunakan sebagai premis perniagaan.

"Walaupun ini tanah kerajaan tidak dibangunkan, kita manfaatkan dengan memberi peluang pekerjaan kepada rakyat," katanya.

Takiyuddin berkata, inisiatif GET selari dengan hasrat kerajaan mengurangkan karbon dan program itu mendapat sambutan baik daripada syarikat RE100 yang menggunakan tenaga boleh baharu (TBB) pada kadar 100 peratus.

Inisiatif itu membolehkan pengguna domestik dan industri di Semenanjung memilih untuk beralih kepada penggunaan bekalan elektrik daripada sumber TBB yang dijana dari sumber loji jana kuasa solar dan hidro mulai 1 Januari tahun depan.

Takiyuddin berkata, hasil kutipan penjualan GET akan digunakan bagi menyokong pelaksanaan agenda dan inisiatif pembangunan TBB negara. – BERNAMA

Berita Harian X