Selasa, 7 Disember 2021 | 6:29pm
Graduan Program Dwi Pensijilan Tekno Huffaz Politeknik Malaysia pada Majlis Konvokesyen Ke-22 Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, semalam.
Graduan Program Dwi Pensijilan Tekno Huffaz Politeknik Malaysia pada Majlis Konvokesyen Ke-22 Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, semalam.

Graduan sulung Tekno Huffaz PSA terima sijil

Shah Alam: Majlis Konvokesyen Ke-22 Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA), mencatat sejarah tersendiri apabila graduan sulung Program Dwi Pensijilan Tekno Huffaz Politeknik Malaysia menerima Diploma Pengajian Perniagaan, semalam.

Pelajar itu, Muhammad Firdaus Naim Yuswan @ Rizwan, yang turut menerima Sijil Tahfiz Malaysia daripada Darul Quran, Jabatan Kemajuan Islam Malay- sia (JAKIM), adalah generasi pertama program Tekno Huffaz, yang mula diperkenalkan pada Jun 2017.

PSA menjadi politeknik pertama negara yang memperkenalkan Program Pensijilan Tahfiz al-Quran dengan kerjasama Darul Quran JAKIM.

Program itu bertujuan membentuk graduan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) global serta holistik, seterusnya melahirkan lebih ramai teknokrat huffaz di negara ini.

Muhammad Firdaus antara 2,818 graduan yang menerima ijazah, diploma serta sijil pada majlis konvokesyen PSA, bermula semalam hingga 10 Disember di Dewan Al-Jazari PSA, di sini.

Mereka terdiri daripada pelajar Jabatan Kejuruteraan Awam, Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Jabatan Perdagangan.

Pengarahnya, Dr Mohd Zahari Ismail, berkata PSA mengambil keputusan mengadakan majlis konvokesyen secara fizikal selepas mengambil kira hasrat mahasiswa dan ibu bapa yang ingin majlis istimewa itu diadakan secara bersemuka.

"PSA menetapkan peraturan yang ketat bagi memastikan semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan, dipatuhi sepanjang majlis berlangsung," katanya.

PSA mencatat peningkatan kebolehpasaran graduan pada kadar 97.8 peratus, tahun ini berbanding 95.9 peratus tahun lalu dan 2019.

Sebelum ini, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, dilaporkan berkata, graduan lepasan politeknik menjadi buruan majikan meskipun negara dilanda pandemik.

Muhammad Firdaus Naim
Muhammad Firdaus Naim

Berita Harian X