Selasa, 7 Disember 2021 | 4:47pm
Ismawi (kiri) berjumpa penduduk ketika berkempen di kerusi DUN Muara Tuang. FOTO NSTP/NORSYAZWANI NASRI
Ismawi (kiri) berjumpa penduduk ketika berkempen di kerusi DUN Muara Tuang. FOTO NSTP/NORSYAZWANI NASRI

Kecewa BERSATU tak bertanding punca jadi calon Bebas

KOTA SAMARAHAN: Kecewa dengan BERSATU tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak mendorong Ismawi Mohammad menjadi calon Bebas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Muara Tuang.

Ketua BERSATU Bahagian Samarahan itu berkata, sebagai anak jati Kampung Baru di sini dan pernah menjadi ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), beliau sudah lama menunggu peluang menjadi calon pilihan raya.

"Apabila BERSATU Pusat memutuskan untuk tidak meletakkan calon pada PRN kali ini, saya mengambil keputusan bertanding sebagai calon Bebas.

"Tindakan saya ini disokong ahli BERSATU lain di DUN Muara Tuang demi mencapai impian kami dalam politik," katanya, hari ini.

Kerusi DUN Muara Tuang menyaksikan pertandingan enam penjuru dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengekalkan Datuk Idris Buang sebagai calonnya.

Empat calon lain adalah Daud Eali mewakili Parti Amanah Negara (AMANAH), Yakub Khalid (Parti Sarawak Bersatu), Sagandin Sulaiman (Parti Bumi Kenyalang) dan Hipni Sulaiman (Parti Sedar Rakyat Sarawak).

Ismawi berkata, keputusannya bertanding sebagai calon Bebas turut mendapat sokongan masyarakat setempat yang mahu calon anak jati tempatan lebih muda dan segar.

"Isu di DUN Muara Tuang sekarang ialah penduduk mahu wakil rakyat kalangan anak jati Kota Samarahan sendiri.

"Sebagai seorang anak muda berpendidikan dan disokong masyarakat, saya menyahut cabaran untuk bertanding demi bangsa, agama dan negara," katanya.

Berita Harian X