Isnin, 6 Disember 2021 | 11:32am
Dr Kui Hian (dua dari kanan) berdepan pertandingan empat penjuru di DUN Batu Kawah. - NSTP/Goh Pei Pei
Dr Kui Hian (dua dari kanan) berdepan pertandingan empat penjuru di DUN Batu Kawah. - NSTP/Goh Pei Pei

Presiden SUPP ditentang 3 calon di DUN Batu Kawah

KUCHING: Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Seri Dr Sim Kui Hian bakal berdepan pertandingan empat penjuru di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kawah pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN-12), pada 18 Disember ini.

Dr Kui Hian yang juga penyandang kerusi DUN Batu Kawah akan ditentang DAP, Dr Kelvin Yii; Chai Kueh Khun (Parti Bumi Kenyalang) dan Fong Pau Teck (Parti Aspirasi Rakyat Sarawak).

Perkara itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Ita Ling, sebaik Pusat Penamaan Calon (PPC) di Dewan Majlis Perbandaran Padawan ditutup pada jam 10 pagi tadi.

Terdahulu, Dr Kui Hian menjadi calon pertama tiba di PPC pada jam 7.30 pagi, diikuti Dr Kelvin yang juga Ahli Parlimen Bandar Kuching.

Pada PRN Sarawak 2016 lalu, Dr Kui Hian menang kerusi DUN Batu Kawah menewaskan calon DAP, Christina Chiew Wang See dan calon Bebas, Liu Thian Leong.

Beliau berjaya memperoleh 6,414 undi berbanding Wang See (4,329) dan Thian Leong (1,109).

Berita Harian X