Ahad, 5 Disember 2021 | 10:32am
Graduan terbaik Konvokesyen IKN Ke-19, dari kiri, Ramlee, Mohd Aliff Ikmal, Heloana Syra dan Muhammad Fitri Azhan.
Graduan terbaik Konvokesyen IKN Ke-19, dari kiri, Ramlee, Mohd Aliff Ikmal, Heloana Syra dan Muhammad Fitri Azhan.

Semangat tidak putus asa dorong kejayaan graduan IKN

KUALA LUMPUR: Semangat tidak putus asa dan kerja keras membolehkan graduan Diploma Seni Kraf Kayu sesi 2020, Ramlee Amin Jumat, menjadi pelajar diploma terbaik keseluruhan dan menerima Anugerah Ketua Pengarah 2020 pada Majlis Konvokesyen Institut Kraf Negara (IKN) Ke-19, semalam.

Berasal dari Keningau, Sabah, Ramlee, 29, berkata semangat tidak putus itu menjadi pendorong beliau ketika kali pertama menjejakkan kaki ke Semenanjung untuk menuntut ilmu di IKN.

"Saya mula belajar peringkat sijil di IKN pada usia yang agak lewat, iaitu 24 tahun, tetapi sokongan yang kuat daripada keluarga, tenaga pengajar dan rakan, menguatkan semangat saya untuk terus maju meskipun terpaksa berjauhan daripada keluarga sepanjang menuntut ilmu," katanya.

Ramlee adalah antara 165 graduan yang diraikan pada Majlis Konvokesyen IKN Ke-19 yang berlangsung di Dewan Pleno, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), semalam.

Turut menerima Anugerah Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia peringkat Diploma Seni Kraf ialah graduan Diploma Seni Kraf Kayu sesi 2021, Muhammad Fitri Azhan Fauzi.

Sementara itu, pelajar terbaik peringkat Sijil Seni Kraf menjadi milik graduan Sijil Seni Kraf Logam Sesi 2020, Mohd Aliff Ikmal Roslan @ Rostam dan graduan Sijil Seni Kraf Batik Sesi 2021, Heloana Syra Leduin.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Nancy Shukri, berkata IKN yang sudah mencapai usia dua dekad, memainkan peranan penting melahirkan pelapis baharu yang berbakat, berkemahiran tinggi dan mempunyai kepakaran dalam bidang seni kraf bagi memenuhi keperluan industri.

Kewujudan Pusat Kecemerlangan Kraf di IKN, katanya, meningkatkan kemahiran teknikal pelajar dan ia menjadikan IKN sebagai pusat rujukan pendidikan serta penyelidikan kraf.

"Dari sudut kebolehpasaran, seramai 2,272 atau 81 peratus daripada 2,810 graduan IKN meneruskan kerjaya dalam pelbagai sektor, termasuk industri kraf.

"Jumlah itu merangkumi 1,119 orang atau 49 peratus yang terbabit secara langsung dalam industri kraf, 978 orang atau 43 peratus dalam sektor awam dan swasta dan 175 atau 7.7 peratus graduan, yang melanjutkan pelajaran ke peringkat diploma, ijazah dan sarjana," katanya dalam ucapan pada Majlis Konvokesyen IKN dan pelancaran logo rasmi IKN yang baharu.

Ucapan Nancy dibacakan oleh Pengerusi Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, Rubiah Wang.

Nancy turut mengucapkan tahniah kepada IKN berikutan inisiatif rekaan logo terbaharunya dengan moto Ilmu, Iman dan Mahir, yang disifatkan sebagai mencerminkan keperibadian seimbang antara kerohanian dan keduniaan dalam membangunkan modal insan di IKN.

Berita Harian X