Sabtu, 4 Disember 2021 | 11:57pm
Hantaran Perdana Menteri di laman Facebooknya.
Hantaran Perdana Menteri di laman Facebooknya.

Ismail Sabri ucap takziah pemergian Sabbaruddin Chik

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menzahirkan ucapan takziah atas pemergian bekas menteri Kabinet, Tan Sri Sabbaruddin Chik, jam 8 malam tadi.

Perdana Menteri yang memuat naik ucapan takziah itu melalui Facebook turut mendoakan keluarga Allahyarham supaya tabah menerima kehilangan yang amat dirasai beliau sendiri dan negara.

"Telah berpulang kepada Allah SWT, seorang insan yang sebahagian kehidupan saya 'terhutang' kepadanya.

"Sedih dan duka apabila menerima perkhabaran, sifu dan mentor politik saya, Allahyarham Tan Sri SabbaruddinChik sudah meninggalkan kita semua selama-lamanya," katanya.

Sabbaruddin, 80, meninggal dunia selepas seminggu dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bagi menjalani kuarantin sebaik disahkan positif COVID-19.

Ismail Sabri menyifatkan Allahyarham adalah figura penting di sebalik perjuangannya dalam dunia politik.

"Allahyarham adalah episod penting bagi sejarah perjuangan saya dalam dunia politik. Akan selamanya menjadi kenangan dan ingatan sewaktu Allahyarham menjadi Menteri Pelancongan Seni dan Budaya dari 1987 sehingga 1996.

"Ketika saya berusia 27 tahun, Allahyarham telah melantik saya sebagai ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Temerloh pada tahun 1987, sebelum dilantik sebagai Ketua Penerangan UMNO Bahagian Temerloh beberapa bulan selepas itu.

"Pada tahun 1995, saya memulakan karier politik dengan memegang jawatan sebagai Setiausaha Politik kepada Allahyarham," katanya.

Beliau berkata, banyak pengalaman dan ilmu pengetahuan diperoleh berkat tunjuk ajar Allahyarham.

Katanya, Allahyarham seorang yang amat berdisiplin dan menepati waktu, malah sangat tekun dan berwibawa dalam melaksanakan amanahnya untuk rakyat dan negara.

"Segala ilmu dan tunjuk ajar Allahyarham, tidak pernah saya lupakan dan akan saya kenang sepanjang kehidupan ini.

"Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama roh orang-orang yang beriman dan beramal soleh," katanya.

Perdana Menteri turut mengajak seluruh rakyat Malaysia memberi bacaan al-Fatihah dan mendoakan kebaikan buat Allahyarham.

Berita Harian X