Sabtu, 4 Disember 2021 | 7:42pm
(Gambar fail) Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah. - FOTO BERNAMA
(Gambar fail) Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah. - FOTO BERNAMA

Malaysia, China sepakat kerjasama R&D dan pengeluaran vaksin

ZHEJIANG (CHINA): Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Peringkat Tinggi (JPT) Malaysia-China mengenai kerjasama pasca era COVID-19 yang berlangsung, di sini, hari ini, menyaksikan kedua-dua pihak sepakat untuk bekerjasama dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pengeluaran vaksin.

Mesyuarat itu dipengerusikan bersama oleh Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, dan rakan sejawatnya di China yang juga Ahli Dewan Negara, Wang Yi.

Saifuddin berkata, kerjasama itu bakal memenuhi aspirasi Malaysia untuk menghasilkan vaksin sendiri sebagaimana terkandung dalam Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara (PPVN) yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, baru-baru ini.

"Malaysia mengalu-alukan syarikat vaksin terkemuka dari China untuk menubuhkan kilang pengeluaran mereka di Malaysia yang akan merangkumi kilang pembuatan, penyelidikan data dan pusat R&D," katanya pada sidang media bersama Wang Yi selepas mesyuarat itu.

Saifuddin turut mengumumkan China akan menyumbang dua juta lagi dos vaksin Sinovac kepada Malaysia, selain sejuta dos yang diumumkan pada September lalu.

Dalam pada itu, katanya, perbincangan hari ini juga memberi ruang untuk memperoleh maklumat serta mengenal pasti kaedah baharu bagi memperluaskan lagi hubungan kedua-dua negara.

Beliau berkata, Beijing sudah menerima permintaan Putrajaya untuk Perdana Menteri melawat China pada tahun depan.

"Kami sentiasa meletak China di senarai teratas kebiasaannya sebagai satu daripada negara terawal yang akan dilawati pemimpin kami selepas mengunjungi negara anggota ASEAN," katanya.

Seterusnya, beliau berkata, kedua-dua pihak turut membincangkan pelbagai aspek kerjasama ekonomi, termasuk perdagangan dan pelaburan, Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), kerjasama taman perindustrian, projek mega dan produk pertanian.

Kuala Lumpur juga mengalu-alukan kesediaan Beijing untuk berunding mengenai pewujudan lebih banyak peluang untuk produk pertanian berkualiti Malaysia memasuki pasaran China.

Saifuddin berkata, penekanan juga diberikan kepada memorandum persefahaman (MoU) Kerjasama Telekomunikasi Digital dan Perjanjian Penerbitan Filem Bersama yang rumusannya sedang pada peringkat akhir.

"Kami teruja dengan potensi pertumbuhan kerjasama ekonomi digital antara kedua-dua negara. Mengenai pelaburan ekonomi digital, ia sesuatu yang kami nantikan untuk mengadakan kerjasama lebih erat dengan Kerajaan China atau syarikat dari China," katanya.

Beliau berkata, Malaysia mahu menarik lebih banyak pelaburan dalam bidang itu melalui Pejabat Pelaburan Digital (DIO) bawah Unit Perancang Ekonomi.

Saifuddin turut menyentuh mengenai perkembangan memperbaharui perjanjian kerjasama angkasa dan penggunaan angkasa lepas secara aman antara Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) dengan China National Space Administration (CNSA), yang ditandatangani pada 30 November lalu.

Beliau berkata, rundingan MoU Kerjasama Perubatan Tradisional juga telah dimuktamadkan, manakala Surat Hasrat mengenai Kerjasama Bola Keranjang China-Malaysia sedia ditandatangani.

Mengenai budaya dan pertukaran antara rakyat, Saifuddin berkata, kedua-dua negara bersetuju meneruskan perbincangan untuk meningkatkan pengajaran bahasa Melayu di China - satu inisiatif yang dapat mengeratkan lagi persefahaman rakyat kedua-dua negara.

"Buat masa ini, terdapat 15 universiti mengajar bahasa Melayu serta pengajian Melayu, dan kami akan cuba membantu dengan menghantar buku, tenaga pengajar dan sebagainya," tambahnya.

Mesyuarat JPT diadakan secara hibrid, dengan wakil agensi berkaitan dari kedua-dua pihak mengambil bahagian dari Putrajaya dan Beijing melalui pautan video.

Saifuddin dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke China, bermula semalam, atas undangan Wang Yi. – BERNAMA

Berita Harian X