Sabtu, 4 Disember 2021 | 4:57pm

PAS tolak MN jika UMNO enggan terima BERSATU

LARUT: PAS menolak Muafakat Nasional (MN) jika UMNO enggan menerima BERSATU dan badan bukan kerajaan (NGO) menyertai gagasan itu.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, berdasarkan piagam MN, kedua-dua parti itu sedia menerima parti lain termasuk BERSATU dan NGO.

"Apabila sampai ke peringkat pelaksanaan, kepemimpinan UMNO hanya mahu parti itu dan PAS saja dalam MN, ini bermakna ia sudah lari daripada perjanjian.

"UMNO tak boleh mengarahkan PAS kerana kami parti tersendiri. Kalau nak suruh PAS dengan UMNO saja (dalam MN) itu tak boleh.

"Sebab kita dah berjanji dengan parti lain, bahkan tetapkan tarikh nak berjumpa dengan BERSATU dan parti lain termasuk nak terima BERSATU masuk MN," katanya selepas Program Mahabbah Rasulullah SAW sempena Maulidur Rasul di Dewan Majlis Daerah Selama, Sungai Bayor, hari ini.

Hamzah (dua kanan) menyerahkan cenderahati kepada Abdul Hadi sempena program Mahabbah Rasulullah SAW. - NSTP/Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Hamzah (dua kanan) menyerahkan cenderahati kepada Abdul Hadi sempena program Mahabbah Rasulullah SAW. - NSTP/Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Yang turut hadir, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Pengerusi jawatankuasa Kesihatan, Sains Alam sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Akmal Kamarudin.

Sementara itu, ditanya mengenai ucapannya di majlis itu yang PAS akan melawan sesiapa saja jika ada pihak degil walaupun mempunyai kekuatan, beliau menegaskan ia tidak merujuk kepada mana-mana parti.

"Siapa pihak yang degil itu, kita akan lihat nanti, tapi satu contoh sudah berlaku di Melaka (PRN) apabila UMNO degil, kita lawanlah," katanya.

Abdul hadi (duduk tengah) bersama Hamzah (duduk kanan) hadir pada program Mahabbah Rasulullah SAW. - NSTP/Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Abdul hadi (duduk tengah) bersama Hamzah (duduk kanan) hadir pada program Mahabbah Rasulullah SAW. - NSTP/Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Berita Harian X