Sabtu, 4 Disember 2021 | 4:41pm

Guna SOP sedia ada kawal pintu sempadan - Hamzah

LARUT: Kerajaan menggunakan Prosedur Operasi Standard (SOP) sedia ada yang ditetapkan Majilis Keselamatan Negara (MKN) untuk mengawal pintu sempadan bagi memastikan varian Omicron tidak terus merebak dalam negara ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata SOP itu termasuklah hanya membenarkan negara-negara yang diumumkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk masuk ke Malaysia.

"Buat masa ini kita ikut SOP sedia ada dalam mengawal ketat pintu masuk sempadan dengan mengawal hanya negara yang dibenarkan masuk sahaja.

"Semua negara yang sudah diumumkan KKM untuk tidak dibenarkan masuk, maka Jabatan Imigresen akan terus mengawal ketat semua pintu masuk mengikut SOP yang dimuktamadkan oleh MKN," katanya.

Dalam perkembangan lain pula Hamzah berkata, majikan di negara ini perlu bersedia untuk menghadapi kelewatan dalam proses pengambil pekerja asing, ekoran kebimbangan varian Omicron.

"Ekoran langkah kerajaan memperketatkan Prosedur Operasi Standard (SOP) kemasukan pekerja asing.

"Proses itu akan dilakukan berhati-hati dengan mengambil kira keperluan kesihatan dan ekonomi. Sebab itu proses agak ketat sekarang, jadi semua majikan patut menerima hakikat," katanya.

Kementerian Kesihatan sebelum ini mengumumkan, sekatan perjalanan sementara dikenakan ke atas lapan negara iaitu Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia, Zimbabwe dan Malawi.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin (dua kanan) menyerahkan cendera hati kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Program Mahabbah Rasulullah SAW sempena Maulidur Rasul di Dewan Majlis Daerah Selama, Sungai Bayor. - NSTP/Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin (dua kanan) menyerahkan cendera hati kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Program Mahabbah Rasulullah SAW sempena Maulidur Rasul di Dewan Majlis Daerah Selama, Sungai Bayor. - NSTP/Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Berita Harian X