Sabtu, 4 Disember 2021 | 12:07am

Polis kesan peserta konvoi bantah kenaikan harga barang

KUALA LUMPUR: Polis membuka kertas siasatan berhubung konvoi oleh lima kenderaan yang dikesan melekatkan kertas turunkan harga barang sambil mengelilingi daerah Dang Wangi, hari ini.

Kertas yang dikesan dilekatkan pada kenderaan berkenaan bertulis 'Rakyat Tuntut Tiga', 'KPDNHEP kurangkan kaji lebihkan kerja', 'Menteri hentikan komen tidak sensitif', '#3kartel', 'Rasuah dihapuskan' dan '#3 Kuatkuasa undang-undang'.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya, berkata konvoi itu dikesan melalui Jalan Bukit Bintang, Jalan Sultan Ismail dan seterusnya menghala ke Kompleks beli-belah Sogo, Jalan Tunku Abdul Rahman.

"Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Dang Wangi telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 21A, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Peraturan 9 (1), Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021, iaitu larangan berarak.

"Semua mereka yang terbabit dalam konvoi berkenaan akan dikesan dan seterusnya dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, untuk diambil keterangan dalam masa terdekat," katanya.

Noor Dellhan berkata kertas siasatan akan dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya apabila siasatan selesai dijalankan.

Berita Harian X