Rabu, 1 Disember 2021 | 8:04pm
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)

Pemimpin wajib angkat bahasa Melayu di peringkat antarabangsa

KUALA LUMPUR: Penggunaan bahasa Melayu bukan sahaja perlu diperluaskan dalam acara rasmi, namun perlu ditingkatkan melalui pelabelan produk, iklan dan dokumen perniagaan.

Tokoh bahasa dan persuratan negara, Prof Datuk Seri Dr Awang Sariyan, yang menyokong penuh penegasan dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dalam perkara berkaitan penggunaan bahasa Melayu itu, berkata pihaknya melihat amalan itu dalam kalangan pihak swasta adalah tidak begitu memuaskan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pemimpin juga wajib memainkan peranan dengan mengangkat bahasa Melayu di peringkat antarabangsa seperti mana banyak dilakukan oleh negara lain seperti Indonesia, Jerman, Jepun dan Korea.

"Ketika saya menjadi Pengarah Jabatan Bahasa pada 1999 dahulu, ada Bahagian Pengembangan Bahasa Sektor Swasta untuk mengembangkan bahasa dalam 16 bidang, antaranya pembuatan, pelancongan, rangkaian restoran makanan segera dan telekomunikasi.

"Ada perkembangan yang menggalakkan tetapi kemudian kesungguhan pihak swasta surut dan hingga kini tidak begitu memuaskan.

"Gesaan Perdana Menteri ini perlu diberi perhatian oleh sektor awam juga kerana masih agak meluas penggunaan bahasa asing atau percampuran bahasa kebangsaan dengan bahasa asing dalam mesyuarat di sesetengah jabatan kerajaan," katanya kepada BH.

Beliau berkata demikian bagi mengulas teguran Perdana Menteri terhadap agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta di negara ini kerana lebih mengutamakan penggunaan bahasa Inggeris dalam majlis, mesyuarat, persidangan, projek dan produk mereka.

Sehubungan itu, Perdana Menteri meminta supaya bahasa Melayu digunakan dalam semua acara atau majlis yang dianjurkan dengan meluas selepas ini.

Pada masa sama, Awang yang juga Pengerusi Lembaga Pengelola, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berkata, peminggiran bahasa Melayu tidak sepatutnya berlaku selepas 64 tahun negara mencapai Kemerdekaan, apatah lagi ketetapan penggunaannya dimaktubkan dalam Perkara 152(6) Perlembagaan Persekutuan.

"DBP sejak tahun 2013, melaksanakan Program Audit Bahasa Melayu untuk menilai penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pentadbiran dan mutu bahasa yang digunakan.

"Syukur banyak peningkatan yang berlaku dan timbul kesedaran untuk mengadakan kursus bahasa Melayu di pelbagai Jabatan dan agensi," katanya.

Sementara itu, Ketua Biro Hubungan Luar Persatuan Linguistik Malaysia (PLM), Kamal Shukri Abdullah Sani, berkata DBP perlu diberi taring untuk 'memaksa' penggunaan bahasa Melayu membabitkan acara melalui pindaan Akta DBP.

Beliau berkata, sudah tiba masanya gesaan Perdana Menteri itu dititikberatkan sebagai satu 'amaran' berikutan wujudnya pihak tertentu yang terlalu mengagungkan penggunaan bahasa Inggeris.

"Sehingga kini DBP tiada kuasa dan hanya mampu menasihati pihak tertentu namun melalui pindaan akta kita mahu DBP mampu memberi amaran atau memberikan hukuman termasuk denda kepada mereka yang ingkar," katanya.

Berita Harian X