Rabu, 1 Disember 2021 | 2:35pm
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong bercakap pada sidang media selepas majlis perasmian Kompleks Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KL ATCC). - Foto NSTP/Asyraf Hamzah
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong bercakap pada sidang media selepas majlis perasmian Kompleks Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KL ATCC). - Foto NSTP/Asyraf Hamzah

KL ATCC jimat bahan api sehingga RM1 bilion setahun

SEPANG: Kemudahan Kompleks Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KL ATCC) baharu di sini, yang dilengkapi teknologi canggih mampu memendekkan laluan penerbangan serta penjimatan bahan api sehingga RM1 bilion setahun.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata dengan penggunaan teknologi canggih KL ATCC, pesawat tidak perlu lagi berlegar di ruang udara sebelum mendarat.

Beliau berkata, penjimatan masa untuk pendaratan dicerminkan dengan penjimatan kos kewangan dalam industri penerbangan dan yang berkaitan dengannya.

"Saya lihat dari segi pergerakan pendaratan pesawat, kita dapat memendekkan masa dan menjimatkan sejumlah RM1 bilion setahun.

"Ini adalah satu jumlah yang besar apabila kita melihat kecekapan penggunaan bahan api.

"Ia mampu melakukannya dengan adanya KL ATCC dengan penggunaan teknologi yang canggih," katanya pada sidang media selepas perasmian KL ATCC, di sini, hari ini.

Kemudahan yang dibangunkan melalui Rancangan Malaysia ke-11 (RMKe-11) itu, disifatkannya sebagai mercu tanda dalam sektor penerbangan negara.

Kompleks berkenaan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pagi tadi.

Yang turut hadir, Pengerusi Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman serta Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kapten Chester Voo.

Ka Siong berkata, pengoperasian KL ATTCC yang terletak bersebelahan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) itu juga sebagai persiapan negara berdepan pasca pandemik COVID-19 yang dijangkakan pulih menjelang 2025.

Berikutan itu, beliau berkata, dalam tempoh berkenaan semua yang terbabit akan menyesuaikan diri dengan kemudahan berkenaan serta membuktikan negara mempunyai pusat kawalan udara yang cekap dan boleh dijadikan contoh sehingga di rantau Pasifik.

Terdahulu, ketika berucap, Ka Siong berkata, KL ATCC baharu itu juga berupaya meningkatkan pergerakan pesawat di KLIA dan klia2 kepada 108 pergerakan sejam dengan menggunakan tiga landasan secara serentak berbanding hanya 84 pergerakan sejam menggunakan dua landasan sebelum ini.

Selain itu, beliau berkata, KL ATCC Subang sebelum ini hanya mampu menampung kapasiti maksimum sebanyak 38 pergerakan pesawat sejam di Lapangan Terbang Subang.

Beliau berkata, dengan peningkatan dari segi kapasiti pergerakan pesawat itu juga bukan sahaja memberi kelebihan kepada sektor penerbangan di Malaysia bahkan ia mampu menjadi antara penyumbang sumber ekonomi kepada negara.

Pada masa sama, Ka Siong berkata, beliau berharap kemudahan serba lengkap dan moden itu dapat membantu meningkatkan kecekapan petugas Pusat Kawalan Trafik Udara (ATC) untuk berdepan dengan pelbagai situasi tidak menentu dalam sektor penerbangan di negara ini pada masa akan datang.

"Saya difahamkan, CAAM mempunyai matlamat untuk menjadikan petugas ATC Malaysia sebagai nombor satu di Asia Pasifik dari segi penyampaian perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

"ATC Malaysia juga akan dikenali sebagai ATC yang paling cekap serta mempunyai nama yang kuat hingga menjadi bualan di peringkat antarabangsa.

"Selain itu, adalah diharapkan ATC Malaysia dapat menjadi yang terbaik dari segi pematuhan terhadap mana-mana peraturan serta mengamalkan sikap melakukan sesuatu dengan betul walaupun tiada yang melihat," katanya.

Berita Harian X