Rabu, 1 Disember 2021 | 12:02pm
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika berucap merasmikan KL ATCC. - Foto BERNAMA
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika berucap merasmikan KL ATCC. - Foto BERNAMA

Pengoperasian KL ATCC di KLIA tepat pada masanya - Ismail Sabri

SEPANG: Pengoperasian Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KL ATCC) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, adalah tepat pada masanya selaras usaha sedang giat dilakukan bagi memulihkan ekonomi negara, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata, pembukaan semula sempadan negara kelak akan merancakkan lagi sektor penerbangan awam, sekali gus memberi kesan positif dengan hasil limpahan kepada ekonomi Malaysia.

"Melalui penyediaan sistem dan peralatan kawalan trafik udara yang baharu dan lebih efisien ini, ia secara langsung akan mempertingkatkan tahap kecekapan perkhidmatan trafik udara Malaysia setanding negara maju di dunia.

"Selain itu, pertambahan jumlah pergerakan pesawat dan peningkatan kapasiti ruang udara yang terhasil daripada projek KL ATCC ini tentu akan memberi impak positif kepada ekonomi negara, terutama dalam sektor penerbangan awam," katanya ketika berucap merasmikan Kompleks KL ATCC, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong; Pengerusi Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman; dan Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Kapten Chester Voo.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, Kompleks KL ATCC bukan saja menempatkan operasi perkhidmatan trafik udara bagi seluruh ruang udara Semenanjung, malah turut menempatkan Pusat Mencari Dan Menyelamat Negara serta Pusat Koordinasi Pengurusan Ruang Udara Bersama (JAMCC).

Katanya, kejayaan pembangunan projek KL ATCC baharu itu adalah sebahagian daripada pencapaian Keluarga Malaysia yang amat membanggakan.

Malah dengan tenaga mahir tempatan yang digunakan serta ilmu ditimba sepanjang tempoh pelaksanaan projek itu, beliau berkata, ia tentu menjadi aset penting bagi memastikan Malaysia mampu berdiri sendiri dan seterusnya menyokong kemajuan serta pembangunan pelbagai industri lain.

"Selain itu, kejayaan ini juga dilihat membolehkan perkhidmatan kawalan trafik udara negara kekal dikawal sepenuhnya oleh anak tempatan dalam persekitaran kerja yang kondusif.

"Keadaan ini juga membuktikan bahawa kepakaran dan kemahiran rakyat tempatan adalah setanding kepakaran dan kemahiran asing, malah mungkin dalam sesetengah aspek adalah jauh lebih baik," katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, trend peningkatan semula sektor penerbangan dijangka pulih menjelang 2025.

Beliau berkata, ia selepas industri penerbangan awam mengalami kemerosotan sangat ketara akibat pandemik COVID-19 yang turut menyebabkan penutupan sempadan antarabangsa.

Berita Harian X