Selasa, 30 November 2021 | 10:41pm
ISMAIL Sabri (tengah) bergambar bersama pemenang anugerah sempena majlis Malam Wartawan Malaysia 2021, malam ini - NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM
ISMAIL Sabri (tengah) bergambar bersama pemenang anugerah sempena majlis Malam Wartawan Malaysia 2021, malam ini - NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM

29 Mei kekal Hari Wartawan Nasional

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju mengekalkan tarikh 29 Mei setiap tahun sebagai Hari Wartawan Nasional atau HAWANA yang kali pertama diperkenalkan pada 2018.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata beliau sendiri turut mencadangkan supaya rangkaian kerjasama serantau membabitkan wartawan pada peringkat serantau dapat diperkasa demi memudahkan capaian kesefahaman antara negara.

Beliau berkata, media dan wartawan adalah rangkaian persefahaman secara tidak langsung, selain daripada hubungan diplomatik sedia ada.

Pengarang Kumpulan BH, Datuk Saidon Idris (kiri), Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit (kanan) dan Pengarang Kumpulan New Straits Times, Ahmad Lokman Mansor (tiga kiri) bergambar bersama kakitangan NSTP yang memenangi anugerah pada majlis Malam Wartawan Malaysia 2021 di Kuala Lumpur. - NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM
Pengarang Kumpulan BH, Datuk Saidon Idris (kiri), Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit (kanan) dan Pengarang Kumpulan New Straits Times, Ahmad Lokman Mansor (tiga kiri) bergambar bersama kakitangan NSTP yang memenangi anugerah pada majlis Malam Wartawan Malaysia 2021 di Kuala Lumpur. - NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM

Katanya, beliau mengharapkan jalinan persefahaman antara kerajaan dan media akan terus subur sehingga dapat menjalin kemesraan dengan dunia dan serantau.

"Lawatan saya ke Indonesia baru-baru ini membantu mengeratkan hubungan dengan Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia atau ISWAMI yang sudah terjalin sejak 2007.

"Saya percaya ISWAMI dapat memainkan peranan penting sebagai jambatan penghubung sesama wartawan kedua-dua negara.

"Saya berharap hubungan media dan wartawan Malaysia bersama rakan wartawan di negara jiran melalui ASEAN atau selainnya dapat diperkukuh dengan menjadikan ISWAMI sebagai model," katanya pada Malam Wartawan Malaysia, Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-PETRONAS 2020, di sini, malam ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Malam Wartawan Malaysia 2021, Datuk Dr Chamil Wariya.

Pada majlis itu, BH mengungguli Kategori Desain Halaman Pertama Terbaik yang dimenangi Muhammad Shahrul Nizam Manshor melalui tajuk 'Ingkar boleh dipenjara, COVID-19, KKM tingkat usaha perangi COVID-19.

Harian Metro pula mengungguli kategori Grafik Terbaik melalui artikel Arang Gred Terbaik oleh Shahrul Zaman Mohd Zain dan Nor Salim Mohamed Dawam; kategori manakala Kewartawanan Foto Cemerlang melalui artikel Lelah Terbatas oleh Mohd Aswadi Alias.

Elena Simala Koshy daripada New Straits Times pula mengungguli kategori Penulisan Rencana Cemerlang melalui artikel The Reluctant Hero, Lasting Legacy, A Saga of memories; manakala Alagesh Theruvarul Nathan memenangi kategori Laporan Berita Cemerlang melalui artikel Teacher Sam vying for global gllory.

Hadiah Kajai diungguli wartawan Izwan Rozlin dan Muhammad Afham Ramli daripada Sinar Harian melalui artikel bertajuk Kartel daging haram, manakala Allahyarham Datuk Baharom Mahusin yang jawatan terakhirnya sebagai Ketua Pengarang Sinar Harian dianugerahkan Anugerah Khas diterima isterinya, Datin Noor Fazuna Yaakub.

Sementara itu, Ismail Sabri melahirkan keyakinan media tradisional masih mempunyai tempat dan relevan walaupun diasak dengan kehadiran media baharu yang boleh diakses melalui gajet, komputer, tablet hinggalah kepada telefon pintar.

Beliau berkata, keyakinan itu dizahirkan walaupun berdepan pelbagai cabaran apabila jaringan internet dan media sosial menyaingi media tradisional sehingga dapat mencorakkan semua perkara, termasuk media serta politik.

"Mungkin sekarang ini sukar melihat senario pengedar akhbar bermotosikal mencampak akhbar dari rumah ke rumah seperti era 80-an dan 90-an, tetapi banyak kedai runcit yang masih menjual akhbar.

"Walaupun jumlahnya mungkin tidak sebanyak seperti dulu, tetapi tetap ada. Saya percaya, seperti juga tradisi perbukuan tidak pupus dengan pengaruh TV, media kewartawanan dalam bentuk tradisional juga tidak berakhir dengan cabaran dunia digital kerana masyarakat masih memerlukan sumber berita dalam bentuk cetak atau hard copy," katanya.

Ismail Sabri berkata, beliau percaya rakyat masih menaruh keyakinan pada kredibiliti wartawan kerana sesetengah blog tidak lebih daripada berita yang niatnya untuk mensensasikan maklumat tidak tepat.

"Media yang menyajikan berita profesional, adil, sahih, menarik dan terkini, akan berjaya," katanya.

Berita Harian X