Isnin, 29 November 2021 | 4:43pm
- Hiasan
- Hiasan

Terima teguran PM guna bahasa Melayu

PUTRAJAYA: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) menyifatkan teguran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya semua pihak mengutamakan penggunaan bahasa Melayu dalam pelbagai majlis, sebagai tepat pada masanya.

Presidennya, Aminuddin Awang, berkata pihaknya mendapati pelbagai majlis agensi kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta kini sering mengutamakan bahasa Inggeris berbanding bahasa Melayu.

Beliau berkata, semua pihak dan rakyat perlu menyedari kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan seperti termaktub dalam Perkara 152, Perlembagaan.

Katanya, teguran Perdana Menteri itu perlu diterima dengan hati terbuka semua pihak kerana ia bermatlamat memartabat kedudukan bahasa Melayu.

"NUTP amat berharap penggunaan bahasa Melayu di sektor kerajaan dapat ditingkatkan. Penggunaan bahasa Melayu dengan betul sangat perlu bagi memastikan ia terus hidup segar dalam pengurusan dan pentadbiran semua sektor di negara kita.

"Kita perlu memastikan bahasa Melayu berkembang dan maju selaras dengan pembangunan serta kemajuan negara," katanya kepada BH, hari ini.

Ismail Sabri menegur agensi kerajaan, GLC dan swasta di negara ini yang dilihat lebih mengutamakan penggunaan bahasa Inggeris dalam majlis, mesyuarat, persidangan, projek dan produk mereka.

Sehubungan itu, Perdana Menteri meminta supaya bahasa Melayu digunakan dalam semua acara atau majlis yang dianjurkan dengan meluas selepas ini.

Sementara itu, Felo Utama, Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, sikap mengutamakan bahasa Inggeris berbanding bahasa Melayu boleh menjadikan bahasa kebangsaan 'melukut di tepi gantang' di tanah watannya sendiri.

Beliau berkata, sikap sedemikian perlu diinsafi untuk kelestarian bahasa Melayu sebagai bahasa negara dalam konteks identiti negara Malaysia dan identiti budaya rakyat Malaysia.

"Rasa bangga, cinta dan setia kepada bahasa negara perlu dizahirkan pada setiap masa melalui penggunaannya.

"Justeru ada keperluan, malah kemestian untuk menggunakan bahasa Melayu dalam semua urusan oleh semua pihak, khususnya sektor awam," katanya.

Namun katanya, penggunaan bahasa Inggeris adalah penting di arena antarabangsa tetapi perlu diseimbangkan dengan penggunaan bahasa Melayu di negara sendiri.

Berita Harian X