Isnin, 29 November 2021 | 11:32am
Masyarakat pelbagai kaum menjaga keharmonian. - Gambar hiasan NSTP/HAZREEN MOHAMAD
Masyarakat pelbagai kaum menjaga keharmonian. - Gambar hiasan NSTP/HAZREEN MOHAMAD

Rakyat pelbagai kaum sudah matang

KUALA LUMPUR: Kementerian Perpaduan Negara mengambil pendekatan mendidik dan memperkasa ekosistem perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini, berbanding pendekatan menghukum.

Timbalan Menterinya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, berkata peruntukan undang-undang sedia ada di bawah beberapa kementerian sudah cukup untuk dilaksana, bagi menangani sebarang isu sensitif membabitkan kaum dan agama di Malaysia.

"Lebih baik jika kita tumpukan kepada Pelan Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030 dan KAMI@Pelan Perpaduan Keluarga Malaysia 2021-2025 yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, semalam.

"Saya yakin rakyat Malaysia dengan demokrasi yang matang mampu mengambil kira pendekatan ini, berbanding yang bersifat punitif (menghukum)," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau memberi maklum balas kepada cadangan Datuk Seri Dr Mujahid Yusof (PH-Parit Buntar) supaya Kementerian Perpaduan Negara mengadakan akta khusus berkaitan kebencian kaum, berbanding 'menumpang' akta lain.

Wan Ahmad Fayhsal berkata, antara undang-undang yang berkuat kuasa dalam menangani isu keharmonian antara kaum di negara ini ialah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, bagi kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan untuk kesalahan menakut-nakutkan secara jenayah.

Selain itu, Seksyen 505 Kanun Keseksaan bagi kesalahan mengeluarkan kenyataan yang mendatangkan khianat awam, Seksyen 504 Kanun Keseksaan bagi kesalahan dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan serta subseksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 bagi kesalahan menghasut.

Beliau berkata, Dasar Perpaduan Negara dan Rangka Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030 juga menggariskan strategi memperkukuh ekosistem perpaduan melalui pemantapan sistem pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang.

"Kementerian amat menitikberatkan tindakan penguatkuasaan secara saksama kepada semua pihak tanpa mengira bangsa dan agama.

"Kedua-dua dokumen ini menjadi asas dan garis panduan kepada masyarakat tanpa mengira kaum dan agama dalam mengukuhkan nilai perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia," katanya.

Berita Harian X