Ahad, 28 November 2021 | 10:54pm
Usaha membudayakan bahasa Melayu perlu bermula di peringkat awal - Noraini. FOTO NSTP/NUR AISYAH MAZALAN
Usaha membudayakan bahasa Melayu perlu bermula di peringkat awal - Noraini. FOTO NSTP/NUR AISYAH MAZALAN

Pelihara bahasa Melayu tanggungjawab semua

JOHOR BAHRU: Langkah memelihara bahasa Melayu perlu bersifat menyeluruh dengan membabitkan tanggungjawab bersama antara kerajaan, swasta dan masyarakat.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata dalam konteks itu kebersamaan menjulang martabat bahasa Melayu yang menyatupadukan rakyat di negara ini, sangat dituntut.

Beliau berkata, pada zaman sekarang, ada segelintir rakyat lebih cenderung menggunakan bahasa rojak dalam pertuturan harian.

"Penganjuran Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) menunjukkan kepada kita ada kalangan peserta yang bahasa Melayu bukanlah bahasa asal mereka namun mereka fasih bertutur bahasa kita.

"Ini sekali gus menjadi peringatan buat kita semua yang juga penutur asal bahasa Melayu, kitalah yang sepatutnya mendukung bahasa Melayu sebagai bahasa pertuturan kita.

"Hari ini terbukti bahawa Bahasa Melayu adalah bahasa yang turut dituturkan bangsa lain di peringkat antarabangsa.

"Kita tidak boleh melepaskan tanggungjawab untuk memelihara bahasa Melayu ini kepada kerajaan saja. Usaha membudayakan bahasa Melayu perlu bermula di peringkat awal lagi khususnya di rumah dan juga institusi ilmu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada malam kemuncak Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2021 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini, malam ini.

Perasmian malam kemuncak itu disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sementara Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad turut hadir di majlis itu.

PABM 2021 mengumpulkan seramai 78 peserta dari 36 negara yang bertanding dalam tiga kategori iaitu pelajar antarabangsa, alam melayu dan pelajar antarabangsa yang telah menetap di Malaysia.

Seramai sembilan finalis berentap di malam kemuncak dalam tiga kategori itu yang disiarkan secara langsung di TV1,Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Berita Harian X