Ahad, 28 November 2021 | 1:56pm
Ismail Sabri bersama Halimah menunjukkan buku Pelan Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030 dan KAMI@Pelan Perpaduan Keluarga Malaysia 2021-2025. - NSTP/Eizairi Shamsudin
Ismail Sabri bersama Halimah menunjukkan buku Pelan Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030 dan KAMI@Pelan Perpaduan Keluarga Malaysia 2021-2025. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Pelancaran pelan tindakan melengkapi dokumen Dasar Perpaduan Negara

KUALA LUMPUR: Pelancaran Pelan Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030 melengkapi sembilan dokumen Dasar Perpaduan Negara dan menjadi payung kepada pelan pelaksanaan agenda perpaduan nasional.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique, berkata pelan induk bawah Kementerian Perpaduan Negara itu bertujuan mencapai aspirasi Keluarga Malaysia yang bersatu padu, harmoni dan makmur.

Beliau berkata, kementeriannya menggariskan 57 program bagi mencapai lima teras strategik ditetapkan.

"Pelan Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030 dan KAMI@Pelan Perpaduan Keluarga Malaysia 2021-2025 dirangka serta dibina berdasarkan kajian sebenar yang mengambil kira pandangan masyarakat hingga peringkat akar umbi dan pemimpin komuniti setempat.

"Kejayaan atau keberhasilan pelan ini adalah bergantung pada kerjasama merentasi kementerian dan agensi, badan bukan kerajaan (NGO) serta pihak swasta yang akan terbabit bersama merealisasikan apa yang telah kita rancang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030 dan KAMI@Pelan Perpaduan Keluarga Malaysia 2021-2025 yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, di sini, hari ini.

Halimah menegaskan, perpaduan kaum adalah misi amat penting dan tunjang utama kesepaduan sosial di negara ini.

"Kelangsungan masyarakat dan negara sangat bergantung pada kita sebagai Keluarga Malaysia untuk mengekalkan kesepaduan sosial.

"Semangat menghormati satu sama lain, berbincang apabila ada perbezaan pandangan dan terus-menerus berunding mencari jalan tengah untuk menyelesaikan sebarang perbalahan, adalah formula terbaik ketahanan kesepaduan kita," katanya.

Beliau berkata, semangat Keluarga Malaysia menjadi tulang belakang kepada keharmonian penduduk pelbagai kaum, sekali gus menyumbang kepada kegemilangan tanah air.

Berita Harian X