Sabtu, 27 November 2021 | 10:43am
Umairah bersama ibunya, Norhayati. - Foto NSTP/Nuraliawati Sabri
Umairah bersama ibunya, Norhayati. - Foto NSTP/Nuraliawati Sabri

Adik Umairah derita hidap ketumbuhan di kepala

MELAKA: Di usia tiga tahun, kanak-kanak ini sudah diuji dengan derita penyakit ketumbuhan di bahagian kepala.

Akibat penyakit itu, keadaan mata kanan Ayu Umairah Mohd Zamberi juga tidak seperti kanak-kanak normal yang lain apabila matanya kini semakin membengkak.

Ibu kanak-kanak itu, Norhayati Mohamad, 41, berkata dia hanya mengetahui penyakit dihidapi anak bongsu daripada empat beradik itu ketika berusia tiga bulan.

"Ketika dilahirkan dia seperti bayi normal yang lain, namun apabila usianya tiga bulan mula menunjukkan perubahan antaranya mata kanan sering berair dan dahi mula membengkak, malah berat badan juga turun mendadak.

"Selepas dibawa untuk pemeriksaan serta menjalani imbasan tomografi berkomputer (CT Scan), doktor mengesahkan ada ketumbuhan yang menghimpit saraf antara mata dan otak Umairah," katanya selepas menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelebang, Datuk Lim Ban Hong.

Norhayati berkata, buat sementara waktu ini doktor belum memutuskan sebarang prosedur bagi menjalani pembedahan, sebaliknya Umairah perlu dibawa untuk pemeriksaan susulan dengan doktor pakar di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

"Sudah pasti kos untuk ulang-alik dari Melaka ke Kuala Lumpur agak membebankan kerana saya tidak mempunyai pengangkutan. Sebelum ini kami berdua pernah menaiki bas untuk ke HKL.

"Saya hanya bekerja sebagai pembantu kedai dengan gaji harian RM50, manakala suami pula tidak dapat bekerja kerana menghidap penyakit tibi," katanya yang mempunyai tiga anak yang masih bersekolah.

Beliau berkata, sebagai ibu sudah pasti dia mengharapkan kesembuhan buat anaknya dan membesar seperti kanak-kanak seusia yang lain.

Sementara itu, Ban Hong berkata, pihaknya akan merujuk dengan doktor pakar yang terbabit bagi mendapatkan status terkini mengenai rawatan dan prosedur pembedahan yang akan dilakukan.

"Kita harap rawatan akan dipercepatkan kerana keluarga ini menyuarakan rasa bimbang jika pembedahan lewat yang dikhuatiri memberi kesan kepada penglihatan Umairah.

"Saya juga akan membantu kos ulang alik mereka ke HKL, termasuk penginapan selain turut menyerahkan bantuan awal," katanya.

Berita Harian X