Jumaat, 26 November 2021 | 7:50pm
Latiff menyiram tanaman sayur yang diusahakan di kebun bandar. - NSTP/ASWADI ALIAS
Latiff menyiram tanaman sayur yang diusahakan di kebun bandar. - NSTP/ASWADI ALIAS

Kebun bandar kurangkan beban kenaikan harga sayur

Kuala Lumpur: Inisiatif komuniti Perumahan Awam Seri Perlis 2 mengusahakan kebun bandar, di sini ternyata memberi banyak manfaat, terutama ketika harga sayur-sayuran naik dalam pasaran kini.

Pengusaha kebun komuniti itu tidak menaikkan harga hasil tanaman sayur-sayuran bagi mengurangkan beban pembeli yang kebanyakannya adalah penduduk setempat.

Pengusaha kebun terbabit, Latiff Abu Hassan, 50, berkata mereka memutuskan untuk mengekalkan harga sedia ada buat masa ini, walaupun berdepan kenaikan kos baja dan racun.

Beliau berkata, peruntukan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) daripada kerajaan pada tahun lalu juga membantu mereka untuk mengusahakan tanaman jangka pendek yang memberi manfaat kepada penduduk sekitar.

"Kami menjual sayur mengikut harga pasaran tetapi sejak kenaikan harga berlaku, kami mengambil keputusan mengekalkan harga lama, setakat ini.

"Ini kerana kami tiada menanggung kos tambahan lain seperti kos pengangkutan yang mempengaruhi harga. Ia sekali gus boleh membantu ramai penduduk, khususnya golongan B40, untuk membeli.

"Bantuan RM50,000 daripada PENJANA, tahun lalu, untuk pertanian dalam bandar juga banyak membantu kami untuk menghasilkan lebih banyak bekalan sayur," katanya kepada BH, hari ini.

Mengulas lanjut, Latiff berkata, komuniti kebun bandar mereka kini boleh meraih antara 20 hingga 30 kilogram sayur-sayuran pada setiap tuaian.

"Walaupun hasil tuaian tidak sebesar petani moden lain, ia sedikit sebanyak menyumbang kepada sumber pendapatan penduduk di sini," katanya.

Beliau berpendapat, krisis kenaikan harga sayur boleh dielakkan melalui pengurangan kebergantungan kepada sayur import, termasuk dengan menanam sendiri secara kecil-kecilan di kawasan rumah bagi memenuhi keperluan.

Justeru, katanya, orang ramai terutama yang tinggal di bandar, disaran menanam sayur seperti kangkung, sawi dan kailan yang hanya mengambil masa kurang 30 hari untuk dituai.

Berita Harian X