Jumaat, 26 November 2021 | 12:45pm

299 jadi yatim, yatim piatu akibat COVID-19 di Pulau Pinang

GEORGETOWN: Seramai 299 pelajar sekolah di Pulau Pinang menjadi anak yatim, termasuk empat yatim piatu, susulan kematian ibu bapa atau penjaga akibat penularan wabak COVID-19 hingga kini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar Pulau Pinang, Dr Norlela Ariffin, berkata data terbabit diperoleh daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Berdasarkan data itu, beliau berkata, 142 adalah pelajar sekolah rendah, sekolah menengah (152) dan sekolah agama (lima).

"Daripada jumlah itu, 194 pelajar kehilangan tonggak utama keluarga iaitu bapa, manakala 95 pula kematian ibu, kedua-dua ibu bapa (empat) dan penjaga (enam).

"Mengikut pecahan kawasan pula, 95 pelajar berkenaan adalah dari daerah Timur Laut, Seberang Perai Utara (46), Seberang Perai Tengah (84), Seberang Perai Selatan (33) dan Barat Daya (41)," katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, hari ini.

Menjawab soalan Ong Ah Teong (DAP-Batu Lanchang), Norlela berkata, kerajaan negeri akan menubuhkan jawatankuasa petugas khas (task force) dengan sokongan JKM, JPN dan agensi lain berkaitan bagi menjaga kebajikan pelajar terbabit.

Beliau memaklumkan, jawatankuasa itu antara lain akan melihat bentuk sokongan dan bantuan diperlukan pelajar berkenaan, terutama dalam memastikan mereka meneruskan sesi persekolahan.

"Kesemua pelajar itu berada bawah pengawasan JKM dan sudah diberikan bantuan, namun penubuhan 'task force' itu adalah untuk mencari bentuk bantuan lain yang diperlukan mereka.

"Ini kerana ada kes dua pelajar masing-masing berusia 16 dan 18 tahun yang menjadi yatim piatu akibat pandemik COVID-19, memilih untuk bekerja demi meneruskan kehidupan serta menyara empat lagi adik mereka," katanya.

Beliau turut menjelaskan, tiada dalam kalangan semua anak yatim dan yatim piatu itu yang dimasukkan ke institusi kebajikan, sebaliknya dijaga keluarga masing-masing.

"Namun, JKM tetap menawarkan khidmat kaunseling dan sokongan, selain turut menghulurkan bantuan lain seperti bakul makanan bagi membantu mereka," katanya.

(Gambar fail) Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar Pulau Pinang, Dr Norlela Ariffin. - NSTP/Danial Saad
(Gambar fail) Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar Pulau Pinang, Dr Norlela Ariffin. - NSTP/Danial Saad
Berita Harian X