Khamis, 25 November 2021 | 3:45pm
(Gambar fail) Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Mastura Mohd Yazid. - FOTO BERNAMA
(Gambar fail) Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Mastura Mohd Yazid. - FOTO BERNAMA

Kerajaan komited agih bantuan sama rata kepada Ahli Parlimen

KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi komitmen akan mengagihkan bantuan sama rata kepada semua Ahli Parlimen demi memastikan kebajikan rakyat terpelihara.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Mastura Mohd Yazid, berkata ketika ini ia belum disalurkan, namun bantuan lain melalui agensi kerajaan telah disalurkan ke semua kawasan Parlimen.

Beliau berkata, sebagaimana komitmen dinyatakan Perdana Menteri, kerajaan berusaha memurnikan dan membawa pembaharuan, termasuk dari segi pemberian peruntukan kepada semua Ahli Parlimen.

"Perkara itu sudah dimeterai dalam Perjanjian Keyakinan dan Pembekalan (CSA) melalui Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara blok kerajaan dengan pembangkang," katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Amiruddin Hamzah (PEJUANG-Kubang Pasu) sama ada pengagihan peruntukan yang sama rata sudah diberikan, pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Namun, jawapan Mastura itu menyebabkan beberapa Ahli Parlimen bangun mencelah, termasuk Datuk Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) yang mahu peruntukan berkenaan diberikan segera.

Sementara itu menjawab soalan asal Datuk Seri Rohani Abdul Karim (GPS-Batang Lupar) mengenai keberkesanan konsep Keluarga Malaysia pula, Mastura berkata, konsep berkenaan mempunyai tiga nilai utama meliputi inklusiviti atau keterangkuman, iaitu antara lain menyemai budaya integriti, kebersamaan dan kesyukuran.

Beliau berkata, semua nilai itu adalah nilai sejagat yang diterapkan dalam setiap dasar, perancangan serta pelaksanaan program oleh setiap kementerian, jabatan dan agensi.

"Nilai inklusiviti, kebersamaan dan kesyukuran Keluarga Malaysia menjadi teras dalam menjayakan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang dirangka dengan mengambil kira semua lapisan umur, kesaksamaan gender, wilayah, taraf ekonomi serta kaum.

"Sehubungan itu, konsep Keluarga Malaysia ini diterjemahkan dalam penggubalan dasar kerajaan yang menggariskan perancangan strategik secara komprehensif bagi membolehkan Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi.

"Ia demi meningkatkan kesejahteraan rakyat dan memastikan tiada sesiapa yang tertinggal dalam mengecapi nikmat pembangunan negara," katanya.

Beliau turut menjelaskan, konsep itu menjadi aspirasi jangka panjang bagi melahirkan Keluarga Malaysia yang kalis cabaran masa hadapan dalam mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi berlandaskan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) serta Keberhasilan Kebahagiaan (KHO) kerajaan.

"Konsep Keluarga Malaysia tidak hanya tertumpu kepada kaum majoriti, malah kepada semua kaum.

"Ini jelas dengan usaha kerajaan yang merangkumi penyediaan pelbagai Bantuan Prihatin Rakyat, termasuk dari aspek kebajikan, kesihatan, kemudahan infrastruktur bagi mensejahterakan hidup, serta memastikan pemulihan ekonomi negara berjaya," katanya.

Berita Harian X