Rabu, 24 November 2021 | 1:04pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Jumlah penghidap diabetes, hipertensi amat membimbangkan

KUALA LUMPUR: Jumlah mereka yang menghidap penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes dan hipertensi, dalam kalangan masyarakat adalah sangat membimbangkan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) pada 2019 menganggarkan kira-kira 3.4 juta penduduk dewasa menghidap dua penyakit NCD.

"Kementerian Kesihatan (KKM) memberi fokus terhadap strategi pencegahan dan kawalan NCD pada peringkat awal berdasarkan Pelan Strategik Kebangsaan Penyakit Tidak Berjangkit 2016-2025.

"Dasar, pelan dan perkhidmatan mengikut 'Life Course Approach' ini mengambil kira keperluan kesihatan serta sosial pada semua peringkat kehidupan bermula dengan kesihatan dan pemakanan ibu," katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Dr Azman Ismail (PH-Kuala Kedah) yang meminta KKM menyatakan strategi menangani NCD di Malaysia.

Khairy berkata, pendekatan 'Life Course Approach' turut meneruskan amalan pemakanan bayi, termasuk promosi penyusuan susu ibu dan amalan gaya hidup sihat serta menjalankan program pemerkasaan khusus untuk pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT).

"Selain itu, Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) yang diluluskan Jemaah Menteri pada 7 Ogos tahun lalu, menjadi tawaran baharu kerajaan bertujuan menjadikan rakyat Malaysia sihat sejahtera melalui pembudayaan hidup sihat dan kelestarian persekitaran yang menyokong hidup sihat.

"KKM turut menubuhkan Jawatankuasa Kabinet ANMS yang dipengerusikan Perdana Menteri dan bertindak sebagai platform peringkat tertinggi bagi membincangkan serta mengenal pasti dasar dan tindakan susulan untuk menangani NCD yang memerlukan pembabitan aktif pelbagai kementerian serta agensi," katanya.

Berita Harian X