Selasa, 23 November 2021 | 7:40pm
Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengajukan soalan pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri sempena Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Parlimen hari ini. - Foto BERNAMA
Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengajukan soalan pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri sempena Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Parlimen hari ini. - Foto BERNAMA

Bung Moktar cadang diwujudkan sekolah perpaduan

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin mencadangkan supaya sebuah sekolah perpaduan yang mempunyai pelbagai aliran diwujudkan bagi meningkatkan semangat perpaduan dalam kalangan pelajar berbilang kaum dan agama.

Beliau berkata, walaupun sekolah perpaduan mempunyai aliran kebangsaan, Cina, Tamil dan lain-lain, sekurang-kurangnya pelajar berada di dalam satu kawasan sekali gus berkongsi hidup dengan aman damai tanpa lupa asal usul.

"Boleh ada ajaran kelas (aliran) sekolah-sekolah begini, tetapi carilah sekolah perpaduan, wujudkan sekurang-kurangnya mereka duduk dalam satu bumbung, berkongsi dewan, berkongsi kantin dan berkongsi padang barulah ada cetusan perpaduan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Perpaduan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Bung Moktar berkata, sekiranya perpaduan dalam negara diurus dengan sebaik mungkin, masyarakat di luar tidak akan cuba mengganggu gugat keharmonian negara kerana mereka tahu perpaduan itu amat penting untuk semua pihak.

Menjawab celahan M Kulasegaran (PH-Ipoh Barat) mengenai kewujudan Sekolah Kebangsaan Wawasan, Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, pelaksanaan sekolah itu tidak dijalankan dengan sebaik mungkin.

"Kalau mahu melihat perpaduan benar-benar berlaku pada masa akan datang, kita kena sediakan platform yang baharu kepada anak bangsa, kalau tidak mereka akan tuduh kita selaku ibu bapa tidak bertanggungjawab mewujudkan perpaduan dalam negara untuk mereka," katanya. – BERNAMA

Berita Harian X